Thursday, June 26, 2008

 
Pelajar Cekal
Diploma Dalam Tangan
Pasport Kerjaya

Pada hari ini, 25 Jun 2008, PTPL telah melangsungkan upacara Graduasi ke-12 di PWTC. YB Tan Sri Muhyidin Yasin telah merasmikan upacara tersebut. Anak ep, Nor Anisah, adalah salah seorang graduan yang menerima diplomanya dalam bidang perakaunan. EP & mem berserta ibu bapa pelajar-pelajar lain turut memeriahkan upacara ini sebagai tanda sokongan moral di atas kejayaan anak-anak melepasi tahap ini dalam pengajian tinggi.

Anisah kini melanjutkan pengajian diperingkat ijazah di MSU. Kalau tak salah ep, dengan diploma PTPL beliau dapat masuk terus ke tahun 2 atau semester 3 dalam bidang pengajian yang sama.

Dalam hal pembelajaran ep memang menggalakkan anak-anak ep untuk terus belajar ke tahap tertinggi sekiranya mereka masih berminat dan berkemampuan untuk belajar. Ep tidak memaksa. Mereka perlu membuat pilihan sendirian. EP cuma beri pandangan dan nasihat tentang perkara-perkara yang berkaitan. Masa muda adalah masa terbaik untuk melanjutkan pelajaran. Jangan terburu-buru nak cari wang. Bila dah berumur dan berkomitmen lebih sukar untuk melanjutkan pelajaran. Apatah lagi kalau nak belajar secara separa masa.

Langkah mereka masih jauh. Langkah ep pula dah semakin pendek.

Labels: ,


|

Tuesday, June 24, 2008

 
Di Perjumpaan
Hadir Rambut Beruban
Kerusi Kosong

Semalam ep menghadiri majlis perjumpaan alumni pelajar kejuruteraan ITM di Hotel Sheraton, Subang Jaya. Tujuan utama ep ke sana adalah untuk bersua muka dengan kawan-kawan lama semasa zaman persekolahan dulu. Namun nasib tidak menyebelahi ep kerana dari 60 orang yang seangkatan dengan ep yang hadir cuma 7 orang saja. Abdul Karim, Abdul Latif Zain, Mohd Kamal, Asli Kasim, Anwar Hashim dan Siti Zaleha. Turut sama hadir pada malam itu pensyarah kelas 'surveying', Encik Halim Dom atau lebih dikenali diantara kami Encik Halim Matador. Tan Sri Arshad Ayob juga turut hadir. Majlis telah dirasmikan oleh Datuk Zin, i.e., Menteri Kerja Raya, yang juga merupakan alumni.

Labels: ,


|

Thursday, June 19, 2008

 
Makan Bersuap
Hidangan Hias Meja
Pautan Kasih

Pada 15 Jun 2008 yang lalu berlangsung sudah majlis perkahwinan teman gengjurnal, Cik Daun & Encik Nesloice, di Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Selangor. Alhamdulillah, walaupun pada hari tersebut aturcara ep agak padat; pagi kena hadir kursus haji diikuti dengan menghadiri dua jemputan kahwin di Kuala Pilah, Ep dan Isteri masih sempat juga memenuhi undangan teman tersebut hatta sampai dipenghujung majlis.

Terima kasih kepada kedua pengantin, cik Nida & cik Salina kerana melayan ep dan isteri ketika itu. Agak terkilan juga di hati kerana tidak berkesempatan berjumpa dengan teman2 gengjurnal yang lain.

Bila agaknya boleh bersama dengan gengjurnal lagi?

Labels: ,


|

Thursday, June 12, 2008

 
Tunggul Mereput
Tunas Baru Menerjah
Celah Rekahan

Semasa berada di Brunei tempoh hari ep terlihat sebatang tunas baru sedang tumbuh di tengah-tengah sebatang tunggul yang sedang mereput di kawasan sebuah pasar. Terlintas di dalam fikiran ep ketika itu akan sebuah hadith:

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati , putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

Di sini dapat dilihat walaupun batang tunggul itu telah mereput ianya masih memberi menfaat kepada tunas baru.

Persoalan yang juga timbul ketika itu apakah diri sudah mempunyai simpanan atau bekalan yang diperlukan untuk dibawa bersama ke alam baru?

PS: Tahniah kepada Pnut & Meor diatas kelahiran anak perempuan mereka baru-baru ini. Didoakan semoga kehidupan senantiasa diberkati Allah swt.

Labels:


|

Thursday, May 15, 2008

 
Cincin Disarung
Meterai Ikatan
Cantuman Tunas

Penggal pertama cuti persekolah dah hampir tiba. Pada umumnya ramai yang mengambil peluang percutian sekolah ini untuk mengadakan walimah atau majlis perkahwinan. Dengan sebab itu 'Cuti Sekolah' ianya sinonim dengan 'Majlis Perkahwinan' atau 'Musim Perkahwinan' terutama bagi mereka yang berjawatan guru atau sekutu dengannya.

Diari ep untuk bulan Mei dan Jun ini telah dipenuhi oleh beberapa program dan aktiviti. Sebahagian besar aktiviti dihujung minggu adalah jemputan kahwin daripada saudara keluarga, sahabat dan kenalan. Ada beberapa jemputan datangnya daripada teman bloggers.

1. Daun & Nesloice
2. Zino

Dikesempatan ini ep ingin mengucapkan 'Selamat Pengantin Baru' kepada Cik Daun & Nesloice. Semoga ikatan ini berpanjangan dan diberkati oleh Allah swt.

Kepada zino, tahniah & tahniah. 1. Dapat menantu yang kedua 2. Dapat ibu & bapa mertua yang sama namanya dengan nama ibu & bapa kandung. Sure tak kekok bila membahasakan diri.

Sape lagi nak kahwin?

Labels: ,


|

Monday, May 12, 2008

 
Secangkir Teh-O
Wajah Di Dalam Air
Bersatu Bibir

Seringkali sewaktu kita sedang bersendirian menikmati secangkir teh atau kopi fikiran kita melayang. Melayang ke merata tempat bergantung pada mood kita disaat itu. 'Flash-back' kisah-kisah silam seringkali muncul pada tika itu. Kisah suka maupun duka silih berganti. Ini yang membuatkan mimik muka kita turut berubah. Pancaran dari apa yang bermain di dalam fikiran.

Penjelmaan wajah seseorang yang kita rindui sepertimana terdapat pada salah satu lirik lagu karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, "dalam air ku terlihat wajah" telah mencetuskan ide bagi ep untuk menulis haiku di atas.

Anda minum air dalam keadaan tergesa-gesa atau 'slow and steady'? Sekiranya anda minum secara perlahan maka ianya menunjukkan anda menikmati minuman itu dan mungkin juga dikala itu ada sesuatu yang indah sedang bermain di dalam fikiran atau ingatan.

Labels:


|

Monday, May 05, 2008

 
Bunga Layu
Rebah Jatuh ke Bumi
Satu per Satu
Reput Dimakan Ulat
Tangisan Sesal Diri


Hidup di dunia ini tidak ada akan kekal. Sampai masanya kita akan kembali ke asalnya. Perjalanan bermula dari titik yang baru dan kita tidak tahu berapa lama kita akan berada di fasa ini. Sering dipertanyakan pada diri ketika diri masih di dunia, "Sudah cukupkah persiapan bekalan yang akan dibawa bagi mengharungi perjalanan di fasa ini dan di fasa seterusnya." Hati gentir memikirkan persoalan itu.

Beberapa hari yang lalu seorang lagi teman sekerja ep, Dr Najib Lotfy bin Arshad, telah kembali ke rahmatullah. Beliau berada dalam keadaan koma selama beberapa bulan di UH sebelum menghembus nafasnya yang terakhir. Sebelum ini telah ramai juga teman ep yang telah mendahului pergi ke alam sana.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Biarlah nama kita diingati atas sebab bakti kebajikan dan bukannya atas sebab perkara-perkara keji nista.

Labels:


|

Monday, April 28, 2008

 

Kuburan Lama
Penanda Selang Seli
Ibu Di Mana?

Minggu lepas ep berada di Langkawi. Semasa di sana kami dibawa menziarahi beberapa tempat bersejarah termasuklah kubur Mahsuri. Tempat ini yang dahulunya kecil telah diperbesarkan menjadi satu perkampungan dimana terdapat di dalamnya teater, muzium, buat kuih tradisional dll. Apabila menziarahi kubur Mahsuri fikiran ep melayang kepada kubur ibu dan ayah ep di kampung Sungai Seluang, Kedah.

Tanah kuburan seluas kira-kira satu ekar itu telah wujud untuk beberapa dekad. Tiada perluasan tanah. Jadi tidak heranlah sejenap penjuru tanah perkuburan itu telah digunakan bukan sekali tetapi untuk beberapa kali mengikut giliran. Disebabkan itu juga penanda kubur samada dalam bentuk batu, kayu atau pun pokok kemboja telah berlapis-lapis dan berselang seli. Ada yang sudah lapuk dan ada juga tulisan pada batu nisan telah kabur. Jadi bagi yang jarang-jarang sekali pergi menziarahi kubur arwah orang tua atau saudara mereka, adalah sukar bagi mereka untuk mengenal pasti tempat asal kubur itu disebabkan di tempat yang sama telah bertambah beberapa penanda kubur. Perkara yang sama terjadi juga pada ep. Hilang orientasi. Kadang-kadang terpaksa ajak anak sedara untuk mengecam kubur-kubur tersebut.

Agak-agak dimana kubur kita?


Labels:


|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com