Wednesday, April 28, 2004

 
OMBAK PANTAI

Lautan luas
Ombak menghempas pantai
Rentetan rindu

Lautan luas kelihatan tenang namun setiap saat ombak menghempas pantai. Begitulah adanya diri ini. Tenang bagaikan lautan luas namun hati bagaikan pantai dihempas ombak. Ada kalanya lemah dan ada kalanya kuat. Rentetan ombak menghempas pantai pasti senantiasa ada. Begitulah juga perasaan rindu pasti senantiasa ada.

Allah SWT melalui RasulNya telah mengajar kita cara bagaimana menghadapi kesulitan atau pun dugaan. Selamilah ilmu dan amalkanlah apa yang dipelajari, InsyaAllah, hari-hari yang akan dilalui akan dilalui dengan penuh ketenangan.

|

Monday, April 26, 2004

 
DUNIA BARU

Selimut putih
Bujur di dalam liang
Dunia baru

Alhamdulillah syukur ke hadirat Allah SWT yang telah mempermudahkan segala urusan jenazah mem ep daripada HUKM hinggalah kepada majlis perkuburan.

Ep ketahui ada yang terkilan kerana tidak dapat bersama kerana tersalah arahan ke destinasi dan juga perubahan jadual. Ep harap mereka tidak berkecil hati tentang apa yang telah berlaku.

Hari ini ep cuti. Nak pulihkan semula kecergasan diri akibat kepenatan dan ngantuk.

|

Sunday, April 25, 2004

 
BERPISAH JUA

Lambaian kasih
Hilang dari pandangan
Berpisah jua

Inna lillah wa inna ilaihi rajiun.. Dari Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita kembali.

Setelah 34 hari berada di wad RICU, HUKM isteri ep, Norhasiah bt DOT Baginda Effendi telah pulang ke rahmahtullah pada 25 April 2004, jam 12.52 pagi. Jenazah beliau telah selamat disholatkan di Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya pada jam 10.30 pagi dan selamat dikebumikan di Perkuburan Islam Petaling Jaya, Seksyen 14, Petaling Jaya pada jam 11.30 pagi.

Kesempatan ini ep nak ucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga kepada semua sahabat handai yang ep kenal dan yang tidak ep kenal diatas simpati dan dorongan yang kalian berikan kepada ep dan keluarga ep.


|

Friday, April 23, 2004

 
MERENUNG JAUH

Mata bertentang
Pilu menusuk kalbu
Tiada kata

Sukar untuk digambarkan situasi pada ketika itu. Tidak dapat diketahui apa yang ingin dipesan atau dikatakan oleh mem ep. Ia hanya bisa merenung dan menatap wajah ep saja. Kelihatan air jernih berkumpul dikelopak matanya. Seteguh manapun bentungan pasti akan roboh juga bila berada diadalam situasi demikian.

Sebenarnya keadaan mem ep berada ditahap kritikal walaupun bakteria telah dapat dikawal. Suhu badannya, pulse dan tekanan darah hampir normal. Namun kiraan plateletsnya menurun lagi.. kalau dua hari sebelum ini kiraan platelets 27 kini kiraan platelets telah menurun ke angka 19. Ini menunjukkan badannya sudah kurang berkemampuan untuk membina kekuatan diri. Kini dokter sudah tidak memberi ubat tidur lagi.

Para dokter telah berusaha sedaya upaya. Yang boleh kita lakukan hanyalah berdoa kepada Allah SWT.


|

Wednesday, April 21, 2004

 
PANDANGAN SAYU


Sentuhan mesra
Pandangan mata sayu
Rindukan rumah



Alhamdulillah mem ep sudah boleh buka matanya dan merenung muka ep ketika ep membelai tangan dan memicit bahagian kakinya. Sebelum ini matanya tidak boleh dibuka kerana ditutup dengan kain kapas dan juga kerana pada ketika itu dia diberi sedikit ubat tidur. Perubahan ini, InsyaAllah, satu pertanda baik yang kesihatan mem ep akan bertambah baik.

Namun begitu ep juga telah diberitahu oleh dokter untuk menerima apa jua kesudahan memandangkan dalam diri mem ep masih terdapat bakteria yang merbahaya. Keadaan yang membuat dirinya kurang stabil disebabkan toksin yang dikeluarkan oleh bakteria tersebut.

Semalam mem ep telah menjalani dialisis untuk membantu buah pinggangnya membersihkan darah yang mengalir dalam diri. Hari ini ep belum mengetahui samada kiraan platelets dalam darah sudah bertambah atau pun tidak.

|

Tuesday, April 20, 2004

 
MASIH KUATKAH DIRINYA

Sinaran yang membawa harapan tidak bertahan lama. Kini cahaya sinaran telah mulai dilindungi oleh awan kelabu. Begitulah keadaan mem ep sekarang ini. Kuman yang berada di dalam dirinya tidak kunjung habis. Setiap kali diuji darahnya akan ditemui jenis bakteria yang baru. Berbagai jenis antibiotik dan campuran antibiotik telah digunakan. Wujudnya bakteria dan toksin yang dikeluarkan oleh bakteria tersebut menyebabkan keadaan mem ep tidak stabil hingga ke saat ini. Suatu perkembangan yang tidak memberangsangkan. Sehingga kini mem ep telah berada di RICU selama empat (4) minggu.

Disamping bakteria yang masih bermaharajalela di dalam tubuh, mem ep juga sedang dilanda keadaan dimana kiraan platelets darahnya sangat rendah. Cuma 27 berbanding 150~400 untuk orang normal. Disebabkan kiraan platelets yang rendah itu kerja tracheotomy (untuk keterangan lanjut sila rujuk laman web "http://www.ehendrick.org/healthy/001381.htm") bagi membantu pernafasannya yang dijadualkan pada hari ini terpaksa ditunda lagi. Ini adalah kerana apabila kiraan platelets darah rendah ianya akan mengakibatkan situasi dimana darah sukar untuk membeku pada tempat luka. Keadaan yang akan membahayakan kepada pesakit.

Besok Dokter pakar ingin berbincang dengan ep tentang rawatan selanjutnya. Satu keputusan yang amat berat.



|
 
PERJUANGAN

Awan kelabu
Salji selimut bumi
Jiwa merintih

Lesu gerakan
Tiada rumput nyata
Menanti takdir

|

Monday, April 19, 2004

 
SELERA


Kira-kira sudah lebih dua bulan ep dan anak2 makan di luar. Pada mulanya memang terasa enak kerana dapat menjamu bermacam-macam jenis masakan. Namun akhir-akhir ini selera ep telah agak menurun. Hidangan yang berbaris tersusun di atas meja di warung maupun restoran sudah tidak dapat menarik ataupun mengiorkan selera. Dah semuanya kelihatan sama saja. Apakah kerana jenis masakan yang dihidangkan sama saja setiap hari membuatkan kita jemu. Kata-kata atau keluhan "Apa nak masak hari ini?" yang sering terkeluar dari bibir atau tercetus dalam fikiran suri rumah melambangkan satu dailema. Yakni untuk menggelakkan kata-kata tersasur keluar daripada suami atau anak-anak "Tak ada masakan lain ker... boringlah masakan yang itu itu saja".

Boring atau jemu terhadap sesuatu merupakan suatu perkara yang serious. Sekiranya tidak diatasi dengan segera ia akan menjalar menjadi penyakit... lemah semangat dan lesu.. baik fisikal maupun minda.

Naluri manusia suka kepada yang berubah. Perubahan yang disenanginya. Benda atau peralatan ditukar agar adanya pembaharuan yang dapat menceriakan. Maka tidak hairanlah setiap datangnya Hari Raya maka terjadilah pertukaran benda sebagai contohnya perhiasan rumah.

Benda hidup berbeza dengan benda mati kerana benda hidup senantiasa berubah pada kadar yang berbeza bergantung kepada keadaan. Berdasarkan aliran pemikiran di atas maka penting bagi kita untuk membuat perubahan yang dapat atau boleh menyenangkan diri atau pun pasangan.

|

Monday, April 12, 2004

 
BUAH KELAPA


Buah kelapa merupakan satu sumber minyak masak yang utama sebelum wujudnya minyak kelapa sawit. Buah kelapa mempunyai tiga lapisan (kulit, sabut dan tempurung) yang perlu dilalui sebelum sampai ke bahagian isinya. Dengan kata lain diperlukan usaha dan daya untuk mencapai matlamat.

Begitu juga adanya dengan pegangan keIslaman atau pun keimanan. Sekiranya kita mengambil analogi kelapa tadi maka tahap keIslaman boleh diibarat samada berada di bahagian kulit, sabut, tempurung atau isinya.

Pada asanya ramai yang mengatakan beragama Islam. Cuma ditahap mana mereka berada itu menjadi persoalan. Sekiranya mereka berada dibahagian kulit luar kelapa maka mereka ini berada pada tahap yang paling goyah. Mereka perlu menghadapi dua ancaman: dalaman dan luaran. Disini pengaruh luaran yang mana mereka terdedah berperanan besar. Segala jenis perubahan keadaan boleh menyebabkan pegangan mereka tergugat.

Pada yang telah melepasi dugaan pertama yakni membolosi bahagian kulit dan berada dibahagian sabut pula, faktor dalaman atau diri berperanan besar pula. Disini mereka terpaksa menyelusuri matriks sabut yang berliku-liku untuk sampai kebahagian tempurung. Sekiranya mereka tidak cekal untuk menghadapi segala cubaan dan dugaan maka mereka akan tersadai di dalam matriks.

Dugaan yang besar sebelum sampai ke bahagian isi adalah tempurung. Berperang dijalan Allah SWT seumpama Perang Badar atau perang2 berikutnya merupakan dugaan atau cubaan yang amat besar pada ummat di zaman Rasulullah SAW. Bagi kita?

Anugerah isi kelapa bukan mudah untuk didapati. Begitulah juga dengan anugerah syurga. Ketabahan dan perjuangan merupakan elemen yang perlu ada pada diri. Sudah lengkapkah diri kita dengan ilmu dan kesabaran untuk menghadapi segala dugaan dan cabaran yang sedia menanti itu?


|

Wednesday, April 07, 2004

 
SINAR HARAPAN

Alhamdulillah berkat doa teman-teman sekalian sekelumit cahaya telah bertukar menjadi sinaran. Sinaran harapan telah memancar apabila dokter yang merawat mem ep memberitahu bahawa 'sepsis' yang menyerang badan mem ep sudah tiada. Mem ep telah melintasi detik-detik yang paling kritikal beberapa hari yang lepas.

Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang sepsis bolehlah cari dalam laman web. Secara ringkasnya:

"Sepsis is a severe illness caused by overwhelming infection of the bloodstream by toxin-producing bacteria. Microorganisms invading the body cause infections. Sepsis is also called Systemic inflammatory response syndrome (SIRS). Sepsis is very serious. It is often life-threatening."

Esok, insyaAllah beberapa peralatan bantuan akan ditanggalkan daripada badan mem ep. Doakan agar kesihatan mem ep terus beransur pulih.




|

Thursday, April 01, 2004

 
SEKELUMIT CAHAYA

Ramai yang datang melawat mem ep samada diwaktu tengahari maupun diwaktu petang. Dan tidak kurang pula yang memberi dorongan semangat kepada ep melalui tulisan di blog maupun beremel kepada ep. Kepada teman-teman semua ep ucapkan terima kasih ke atas doa yang teman-teman dipanjatkan kepada Allah SWT untuk kesihatan mem ep.

Semasa melawat mem ep petang semalam, ep seolah-olah dapat melihat sekelumit cahaya kepulihan dalam diri mem ep. Suhu badannya sudah turun daripada asalnya 39C ke 36.8C. Dengan kata lain ia sudah tidak demam lagi. Mungkin antibiotik yang baru itu berkesan bertindak terhadap kuman-kuman dalam dirinya. Apa yang memberangsangkan ep lagi apabila diberitahu oleh Anisah seolah-olah ada pergerakan kelopak mata sewaktu beliau mengusap-gusap tangan ibunya. Apakah itu hanya sekadar halimun fikirannya saja atau hal sebenar tidak dapat ep pastikan. Harapan ep itu adalah sesuatu yang benar terjadi.


|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com