Sunday, November 28, 2004

 
RUMAH TERBUKA

Rumah Dibuka
Tetamu Ramah Mesra
Jamu Selera

Di bulan Syawal, sudah menjadi suatu tradisi di Malaysia ini, ramai yang bermurah hati mengadakan rumah terbuka. Ramai juga yang mengadakan majlis perkahwinan. Dan tak ketinggalan mereka yang mengadakan majlis doa selamat untuk mengiringi mereka yang akan ke Tanah Suci Makkah.

Persediaannya dari yang paling sederhana hinggalah ke yang paling mewah. Jumalah tetamu yang hadir pun dari berbagai kelompok. Disamping menikmati juadah kesempatan ini kesempatan itu juga digunakan untuk berkenalan dengan rakan yang baru dan memperkokohkan lagi ikatan dengan kenalan yang lama.

Namun disebabkan ramai yang mengadakan rumah terbuka diwaktu yang sama maka ramailah yang terperangkap didalam banyaknya jemputan. Disinilah yang dijemput terpaksa memilih tempat yang dituju berdasarkan komitmen awal atau sebab-sebab yang lain dan perhubungan diantara penjemput dan dijemput. Juga termasuk didalam pertimbangan jarak yang terpaksa ditempuh ke tempat tujuan.

EP disini ingin meminta maaf kepada semua teman yang ingat dan telah menjemput ep namun ep tidak dapat memenuhi jemputan mereka. EP ingin sekali pergi ke semua tempat namun apakan daya kodrat badan tidak mengizinkan. Apa nak dikata 'surat khabar lama' :) :) :)

|

Friday, November 26, 2004

 
Ulang Tahun Kelahiran

Duduk Semeja
Makan Hidangan Lazat
Hati Gembira


Hari ini, 26 Nov, merupakan hari ulang tahun kelahiran almarhum isteri ep. Kebiasaan kami sekeluarga akan menyambutnya dengan pergi makan malam di tempat yang agak istemewa. Malam ini kali pertama kami sekeluarga tidak berbuat demikian. Bukan apa. Hanya khuatir luka yang hampir sembuh berdarah kembali. Lebih baik dilupakan buat seketika.

|

Saturday, November 20, 2004

 
SUASANA HARI RAYA

Pagi Yang Cerah
Keluarga Berhimpun
Berjabat Salam


Keceriaan menyambut Eidul Fitri jelas kelihatan. Rumah-rumah dihias indah. Berbagai kuih muih, samada dibuat sendiri atau dibeli, disusun rapi di dalam bekas dan diletakkan di atas meja. Juadah utama ketupat, lemang dan rendang tidak ketinggalan.Terakhir berbagai minuman juga tersedia. Begitulah suasana di kebanyakan rumah. Keriuhan memenuhi ruangan.

Sanak saudara dan sahabat handai silih berganti datang bertamu. Bersalaman dan bermaaf-maafan. Keceriaan jelas terpapar pada setiap muka. Kanak-kanak yang pada mulanya duduk diam menjadi resah dengan masa. Maka mulalah aktiviti mereka.Ibu bapa yang sedang rancak bersembang terganggu perbualan kerana terpaksa melayan karenah anak-anak.

Sebelum berangkat pulang anak-anak diberi satu sampul buah tangan setiap seorang. Isinya bergantung kepada kemampuan dan 'tali-persaudaraan' keluarga berkenaan.

Begitulah seharusnya suasana hari raya bagi kebanyakan orang... tidak dinafikan ada segelintir insan yang tidak dapat berhari raya seperti yang digambarkan di atas. Ketiadaan samada duit atau pun seseorang telah menjejaskan suasana. Sambutan hari raya terasa hambar sahaja. Walaupun kelihatan ianya gembira namun pada hakikatnya berbeza. Apa yang dirasakan lebih berpihak kepada menumpang kegembiraan orang lain semata-mata. Itu pun masih dikira bernasib baik kerana masih ada tempat untuk menumpang kasih atau kegembiraan. Lebih parah adalah mereka yang tidak dapat mencicipi secebis rasa ria pada kala dan ketika itu. Malah kedukaan dan ketakutan yang dirasakan. Itulah yang dirasakan oleh saudara-saudara Islam kita di Iraq, Afghanistan, Palestin, Selatan Thailand dan di beberapa rantau lagi.

|

Sunday, November 14, 2004

 
1 SYAWAL

Syawal Menjelma
Banduan Bebas Lagi
Hati Digoda


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Luangan suara terpancar daripada corong-corong speaker masjid-masjid. Luangan suara yang menandakan kemenangan melintasi segala dugaan dan cabaran semasa di bulan Ramadhan. Kepada mereka-mereka ini kita ucapkan tahniah. Semoga mereka telah menjadi insan yang bertambah keimanan dan ketaqwaan. Dengan demikian mereka akan lebih berupaya untuk melawan kehendak dan bisikan nafsu berpandukan lindungan Allah SWT.

Namun tidak dinafikan ada juga kedengaran laungan kosong kerana ramai yang telah gagal melalui ujian di bulan Ramadhan sebagaimana difardhukan kepada umat Islam. Mereka begitu gembira melihat pemergian Ramadhan.

Ramadhan melangkah sedih
Muatan dibawa
masih banyak bersamanya
Di dalam hati tertanya-tanya
Mengapa insan enggan
mengambilnya.


Adakah insan terlalu dhaif
atau mereka terlalu sombong
tidak merebut peluang yang ada
mengambil muatan
nilainya tiada bandingan.

Masa dan tenaga
dipersia-siakan
hiburan menjadi tumpuan
hingga lupa akan kewajipan
abdikan diri kepada Allah.


|

Thursday, November 11, 2004

 
Kepada semua teman2.

Selamat Hari Raya
Maaf Zahir & Bathin

sekiranya tersilap dan terkasar tutur kata & kelakuan.

Ikhlas,

EP

|

Thursday, November 04, 2004

 
PILU

Hujan Mencurah
Air Mengalir Deras
Pipi Nan Basah

Ramai yang pasti gembira menyambut kedatangan syawal. Segala persiapan dari pakaian, kuih-muih dan peralatan rumah kelihatan gah sekali. Namun dicelah-celah keriangan itu tidak sedikit pula yang merasa hiba dan pilu. Ada yang sedih kerana mereka tak pasti akan berjumpa dengan Ramadhan pada tahun berikutnya. Juga ada yang sedih kerana pada tahun ini buat pertamakalinya mereka akan berhari raya tanpa orang kesayangan di samping mereka.

Begitulah hakikatnya di dunia ini tiada yang kekal. Sampai masanya mereka akan meninggalkan kita. Orang yang ep sayangi, ibu & ayah, ibu mertua dan bapa mertua, dan terakhir sekali isteri semuanya telah meninggalkan dunia ini. Ep dan isteri telah bersama selama 26 tahun. Selama itu jualah kami meraikan bersama Hari Raya samada di Malaysia maupun di seberang laut. Berbagai kisah suka dan duka kami lalui. Pada Hari Raya kali ini hanyalah ingatan yang akan menemani ep.


|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com