Wednesday, June 30, 2004

 
SEMANGAT GIGIH

Tabungan Kosong
Kerja Mencari Upah
Semangat Gigih


Ada orang dilahirkan dengan 'silver spoon'. Dan ramai pula yang tidak bernasib baik sedemikian rupa. Disebabkan itu perjalanan hidup mereka dirintangi oleh berbagai cabaran. Ramai yang putus asa dan gagal. Namun ada juga yang berbekalkan keuletan minda dan semangat yang gigih berjaya melintasi rintangan-rintangan tersebut. EP terharu membaca tulisan PAK WATTAN mengenai pengalamannya menempuh berbagai rintangan dan halangan semasa beliau sedang menuntut di sebuah universiti dulu. Walaupun EP melalui proses yang sama semasa persekolahan dulu namun apa yang EP lalui tidaklah sehebat PAK WATTAN.

Apa yang telah dilalui oleh PAK WATTAN patut menjadi contoh dan teladan kepada anak-anak muda sekarang ini. Sekiranya kita berusaha, InsyaAllah SWT akan membantu kita. EP doakan semoga PAK WATTAN terus gigih menghadapai cabaran dan disamping itu dapat memenuhi tuntutan kepada Allah SWT dan manusia, InsyaAllah.

|

Tuesday, June 29, 2004

 
LESUNG PIPIT

Lesung Di Pipi
Tak Tahu Nak Memilih
Sabar Melayan


Lesung pipit di pipi pasti terbentuk apabila siempunya diri tersenyum. Terbentuknya lesung pipit itu akan membuatkan wajahnya bertambah manis. Didalam kekalutan teman-teman memesan hidangan di F1 tempoh hari, Tok Pajakgadai dan EP asyik pula memerhatikan sigadis berlesung pipit melayan karenah pemesan hidangan. Mat Jan dan Purbe tak berpeluang memerhati wajah sigadis tersebut kerana mereka membelakanginya. Tak tahulah sewaktu ep sedang melayani bicara Salina dan Farihah. Entah-entah depa pun curi tengok sama kot.

Sayang pada malam itu beberapa menu telah habis terhidang. Disebabkan itu terpaksalah beberapa teman minta hidangan alternatif. Bila sampai kepada Mat Jan suasana jadi riuh. Farihah yang pendiam pun turut sama dalam chorus kenakan (kalau bahasa kasar kutuk) Mat Jan. Puncanya Ais Krim Goreng. Kalau nak tau lebih lanjut kena tanya Purbe & Tudung Purple. Depa duduk sebelah Mat Jan. Kebetulan Ais Krim Goreng masih ada maka terjawablah 'curiousity' Mat Jan tentang ais krim goreng itu.

Walaupun makanan yang dipesan merupakan 'alternatif' semua yang hadir menikmati hidangan yang tersedia. Pokoknya licin deh. Cuma Langsat aje yang terpaksa tapau makananya. Air jus berkapasitas Jumbo pun turut langsai. Salina dan Farihah pun boleh tahan juga dapat menghabiskan sphagetti Bolongnese.

Begitulah keadaannya apabila makan beramai-ramai. Suasana ceria dapat membuka selera. Makanan yang tersedia dan menyelerakan menambah lagi keceriaan pada malam itu. Suasana serupa juga akan terwujud dikala menikmati hidangan bersama keluarga.

|

Monday, June 28, 2004

 
MAT JAN

Sekeping Kertas
Awan Hitam Beredar
Tamat Sekolah


Alhamdulillah. Awan hitam tebal di atas kepala MATJAN beredar setelah dibertahu oleh bapanya di kampung bahawa beliau lulus dan konvonya pada bulan ogos nanti. Kelihatan matanya bercahaya dan senyuman mulutnya melirik sampai ke telinga dengan berita itu. Siapa pun akan berkeadaan sedemikian apabila masalah yang ditanggung sekian lama terangkat dengannya.

MATJAN. Kalau anda sering baca novel berbahasa indonesia (jawa?) maka berkemungkinan akan berjumpa dengan perkataan matjan (ejaan lama) atau macan. Istilah 'macan' bererti harimau dalam bahasa kita. Kalau matjan marah maka mungkin ia akan kelihatan garang seperti seekor harimau. Bila akan sampai saat itu tak tahu lagi kerana pada tika ini matjan lebih kepada anak harimau yang bersifat manja dan disenangi oleh teman-teman. Jadi tak heranlah matjan sering diusik dan digeletek. Sekali sekala terdengar juga ngaumannya bila diberi angin.

Dipuji dan dikutuk lumrah dalam setiap pergaulan. Namun kita kenalah juga prihatin akan psikologi jiwa teman kita kerana dikhuatiri jika terlalu dipuji akan menyebabkan dirinya lupa diri dan jika terlalu dikutuk akan menyebabkan dirinya rendah diri. Kita tidak tahu samada apa yang dipamerkan diluaran membayangkan apa yang dirasakan didalaman. Jangan senantiasa melihat pada mulutnya tetapi lihat jugalah pada matanya...

|

Thursday, June 24, 2004

 
MASA REMAJA

Malam Bersanding
Kail Berumpan Garam
Gelak Ketawa


Di kampung ep kat nun Kedah sana, pada suatu ketika dulu pengantin bersanding pada hampir tengah malam. Tak tahu rasionalnya kenapa. Namun itulah hakikatnya pada masa tu. Sementara menunggu tengah malam dimainkanlah lagu-lagu daripada piring hitam. Kadang kala ada kumpulan musik yang memainkan musik. Pada masa inilah ramai jejaka yang nak tunjuk kehebatan vokal mereka.

Bagi kanak-kanak pula nak tunggu sampai tengah malam merupakan satu penyeksaan pada mata. Maka ramailah kanak-kanak yang tidur terbaring di balai. Kesempatan yang ada ini tidak dilepaskan bagi kanak- kanak 'adventurous' seperti ep. Kami ramai-ramai buat kail dengan menggunakan benang dan ranting kayu yang kecil. Dan umpannya, tergantung pada 'availability', samada butiran garam kasar atau belacan. Butiran garam atau belacan kami ikat dengan benang dan jadikan sebagai umpan. Mangsa kami adalah kanak-kanak yang sedang tidur dengan mulut terbuka. Apabila garam atau belacan mengenai lidah simangsa, maka akan kelihatan respons mangsa tadi. Mulutnya bergerak-gerak mencicipi umpan. Dalam keadaan demikian umpan tadi kami naikkan sedikit demi sedikit. Bersamaan dengan itu juga kepala kanak-kanak tersebut pun naik mengikuti umpan sehingga sampai pada satu tahap kepala atau badan sudah tidak terdaya lagi untuk mengikuti umpan dan kepala kanak-kanak itu akan jatuh kembali kepada lantai tempat tidur. Biasanya pada keadaan demikian kanak-kanak tersebut akan terjaga. Apabila perbuatan kami, yang pada ketika tengah dok gelak ketawa, diketahui mereka maka dimaki hamunlah kami.

Itulah kisah suatu masa dulu. Kini semuanya telah jadi kenangan.

|

Tuesday, June 22, 2004

 
ANAK OH ANAK

Tertawa Ria
Anak Buat Angkara
Lupa Seketika


Suasana gembira pasti terlihat diwajah ibubapa yang mempunyai anak terutama semasa anak-anak tersebut masih kecil. Dari saat bayi baru dilahirkan sampailah anak itu membesar berbagai karenah yang dipertontonkan oleh anak tersebut. Sukar untuk diceritakan akan kegembiraan dicelah-celah kegeraman yang terserlah ketika itu. Helaian ketawa ibubapa dan suara anak yang sekadar ugh argh guh guh disertai dengan mimikan muka dapat mencairkan ketegangan pada diri. Disamping itu secara tak langsung ianya mengeratkan hubungan di antara suami isteri.

Namun begitu ada yang hanya dapat melihat dari kejauhan. Takdir menentukan mereka belum dikurniakan anak.EP simpati kepada mereka kerana ep tahu apa yang mereka rasakan. Pengalaman ep dan mem melalui masa-masa sebelum mempunyai anak setelah hampir 10 tahun mendirikan rumahtangga sukar untuk digambarkan. Dalam perbualan dengan teman-teman yang berkeluarga selalunya kami hanya tumpang bicara saja. Tidak dapat bercerita tentang karenah anak-anak yang sedang membesar. Pada ketika itu kami hanya sekadar menumpang mesra dengan anak-anak mereka.

Pada yang belum mempunyai anak, pesan ep bersabarlah menghadapi akan ujian Allah SWT. Kita tidak tahu akan hikmah disebalik ujian tersebut. Kita berusaha tetapi Allah SWT jualah yang menentukan segalanya.

|

Monday, June 21, 2004

 
TIDAK SERUPA

Secret Resepi
Hidangan Untuk Tiga
Ingat Yang Satu


Sekembalinya ep dari Pasar Besar Klang ep terlihat satu sampul surat tersandar di cermin hiasan meja di bilik ep. Setelah membuka sampul surat tersebut barulah ep perasan di dalam terisi sekeping kad.. kad ucapan selamat hari bapa.. daripada anak-anak ep, Nor Anisah dan Muhammad Faiz. Kata-kata yang tertera pada kad tersebut menyentuh perasaan ep.

Seperti biasanya kami sekeluarga akan menyambut hari-hari seumpama ini dengan sederhana. Biasanya jika disiang hari kami akan ke Secret Resepi di Subang Parade. Makanan yang dipesan oleh Faiz dan Anisah adalah Chicken Black Pepper dan Marble cake. Minuman _Mocha dan air botol. EP kali ini pesan fish & chips dan iced lemon tea. Kalau dulunya kami berempat mengnikmati hidangan tetapi kali ini cuma bertiga sahaja.

Selepas makan kami pergi berbelanja di Parkson, Guess dan Giordano. EP cuma dapatkan satu t-shirt Giordano percuma (father's day) setelah membeli seluar jean untuk Anisah. Tak kisah berapa duit yang dikeluarkan kerana Ep cuma harapkan mereka gembira pada hari ini dan hari-hari seterusnya.

|

Sunday, June 20, 2004

 
MAKAN

Gendang Berbunyi
Perut Minta Diisi
Sabar Menanti


Apabila perut berbunyi itulah tandanya ia mahu diisi. Kalau tak banyak sedikit pun jadilah. Asalkan ada yang masuk. Sekiranya tidak dan perkara ini kerap berlaku maka ianya dapat menyebabkan 'gastrik'. Dengan sebab itu kita dinasihatkan biar makan berkala dan makan makanan yang berkhasiat.Didalam Islam kita dituntut untuk makan makanan yang baik lagi halal.

Perut merupakan gedung penyakit. Disitulah terkumpulnya segala jenis carca marba. Apatah lagi kini banyak makanan yang telah ditokok tambah dengan berbagai bahan pengawet atau kimia yang menjadi bebanan kepada buah pinggang untuk menapis dan mengeluarkannya sisa makanan daripada badan. Kalau buah pinggang sudah tidak effisien lagi maka terjadilah penyakit yang bersangkutan.

Makanan yang masuk ke dalam perut akan diolah dan meresap kedalam badan. Bila dah mendarah daging maka amat sukar untuk membersihkannya. Sesuatu yang nampak agak mudah untuk dibersihkan. Tetapi benda yang tidak nampak maka susahlah untuk membersihkannya. Dan ini mempunyai akibat negatif terhadap jiwa.

|

Friday, June 18, 2004

 
BUNGA API

Percikan Warna
Langit Terhias Indah
Mata Terpukau


Merah, kuning, hijau, biru dan putih. begitulah warna-warna yang terlihat oleh ep dari beranda rumah. Percikan bunga api berwarna warni itu telah menghiasi langit malam sebaik saja jam menunjukan 10.30 pada hari Ahad, 13 Jun 2004 yang lepas di Subang Jaya. Suara gemercikan bunga telah didahului oleh bunyi dentuman ketika bunga bunga api tersebut ditembak ke udara. Pertunjukan bunga api tersebut berlangsung selama 15 minit(?).

Kemeriahan pertunjukan bunga api pasti memukau mereka yang melihatnya. Selain warna, taburan bunga api yang berbagai corak sungguh indah untuk dilihat. Warna yang menarik, bunyi atau suara, wangian dan kilauan merupakan sumber daya tarikan alam. Oleh sebab itu tidaklah hairan sekiranya unsur-unsur di atas digunakan oleh berbagai pihak bagi menarik minat atau keinginan manusia.

Perkara-perkara yang boleh ditangkap oleh deria mudah mempengaruhi keseimbangan akal. Kata-kata 'all that glitters is not gold' dan 'dont judge a book by its cover' merupakan kata-kata nasihat atau hikmah yang perlu diambil kira oleh manusia dalam berbuat sesuatu pemilihan. Racun itu rasanya manis dan obat pula rasanya pahit. Oleh yang demikian jangan dibiarkan pandangan luaran mengelabui pandangan akal. Kita perlu bijaksana dan bukannya bijaksini...

|

Wednesday, June 16, 2004

 
TAKJUB

Padang Arafah
Rahim Ibu Membesar
Terasa Takjub


Apakah persamaan padang Arafah dan rahim ibu? Kedua-duanya dapat menampung mahluk jauh lebih besar dari yang disangkakan. Pada suatu ketika (Haji Akbar) padang Arafah dapat memuatkan hampir empat juta jemaah haji. Dan kita tidak tahu kapasiti maksimumnya. Begitu juga dengan rahim seorang ibu. Siapa sangka yang ia boleh memuatkan hingga sembilan orang bayi. Sungguh menakjubkan.

Disinilah letaknya kelemahan lojik akal. Dengan menggunakan akal sahaja pasti kita akan mengatakan tak mungkin atau mustahil rahim seorang ibu dapat memuatkan hingga sembilan orang bayi. Banyak perkara lagi yang tidak boleh diterima oleh akal.Termasuk dalam kategori ini adalah mukjizat, peristiwa Isra' dan Mikraj. Ini adalah kerana pengetahuan manusia berpandukan kepada akal sahaja adalah terhad.

|

Tuesday, June 15, 2004

 
GIGIH

Mula Berjalan
Tangan Sedia Menyambut
Tiada Jemu


Kita pasti tidak jemu melihat kanak-kanak mula belajar melangkah dan diberi dorongan oleh ibu atau ayahnya. Keceriaan pada wajah ibu ayahnya adalah kepastian. Dan yang lebih mengembirakan kita adalah melihat mimik wajah keceriaan kanak-kanak itu sendiri. Walaupun jatuh dan bersusah payah untuk bangun kanak-kanak tersebut tetap dengan usahanya. Dia tetap berusaha. Dorongan dorongan daripada ayah dan ibunya merupakan inspirasi baginya untuk terus berusaha. Keadaan berterusan sehinggalah kepenatan atau terlalu kesakitan akibat terlampau banyak kali jatuh melanda dirinya. Dan ia akan mencuba lagi...

Faktor berani dan gigih dalam diri kanak-kanak tersebut dan sokongan daripada ayah ibunya memainkan peranan penting dalam usaha kanak-kanak tersebut mencuba berbuat sesuatu. Dengan adanya dorongan maka ianya berimplikasi apa yang dilakukan itu adalah benar.

Kenapakah semangat gigih yang terlatih sejak dari kecil lagi itu menjadi pudar apabila dewasa. Keberanian bertukar menjadi takut...

|

Sunday, June 13, 2004

 
TAK BERANI

Terjun Menjunam
Kaki Diikat Tali
Menjerit Kuat


'Bungee Jumping' merupakan sukan yang boleh membahayakan diri. Ada fakta yang menunjukkan kecederaan yang telah dialami oleh peserta-peserta. Walaupun demikian masih ada yang sanggup untuk 'bungge jumping'. Ini menunjukkan mereka sanggup untuk mengambil 'risk' terhadap kecederaan dan juga punyai 'hati' atau keberanian. Memang kalau yang berhati 'kecil' pasti sukan sebegini tidak menjadi minat mereka. Yang melihat pun boleh kecut perut apatah lagi untuk melakukannya.

Memang tidak ramai yang mempunyai berkeberanian untuk menceburi didalam bidang yang berisiko tinggi ini. Tetapi yang peliknya masih ramai juga yang berhati kecil untuk menceburi bidang yang berisiko kecil. Apakah mereka ini tidak atau kurang berkeyakinan pada diri atau pun mereka mempunyai sikap rendah diri yakni 'inferiority complex'. Kalau dilihat kepada kemampuan memang mereka mampu cuma...

Apakah yang perlu dilakukan untuk mempertebalkan keyakinan diri?

|

Saturday, June 12, 2004

 
NILAI DIRI

Pesakit Tua
Genggam Tangan Cucunya
Hati Tersentuh


Pesakit tua, yang merupakan datuk kepada salah seorang perserta Jepun 'Homestay' , begitu tersentuh apabila cucunya menceritakan pengalamannya semasa di sebuah perkampungan di Malaysia. Apa yang menyentuh perasaan pesakit tua itu maupun pembaca karangan tulisan cucunya itu adalah sorotan nilai atau 'values' dalam diri anak-anak miskin (anak-anak yatim)diperkampungan tersebut. Perasaan nostalgia begitu menyentuh perasaannya hingga butiran air mata meleleh di pipinya. Juga cucunya menceritakan betapa datuknya mengenggam tangannya menandakan betapa tersentuhnya ia dengan cerita itu.

'Values' atau nilai merupakan perkara yang amat penting dalam dunia ini. Tanpa nilai maka benda atau perkara itu menjadi tak berharga. Islam mengajar dan membentuk nilai-nilai murni dalam diri. Ramai, malah orang yang menamakan diri mereka orang Islam, yang membaca tentang Islam namun sedikit sekali yang mengambil nilai-nilai murni itu untuk ditanam dan dipupukan dalam diri. Tanpa nilai-nilai murni ini siapalah kita...

|

Thursday, June 10, 2004

 
PILIHAN

Buah durian
Aroma sengat hidung
Tertusuk duri


Musim durian datang lagi. Kalau dulu harga durian kampung tinggi kini harganya sudah tidak lagi. Ini disebabkan jumlah durian yang dihasilkan terlalu banyak. Berikutan daripada itu jumlah pendapatan daripada hasil jualan durian juga merosot.

Durian dengan baunya yang keras biasanya akan membuatkan mereka yang baru atau tak biasa dengannya akan merasa jelak atau tak berkenan untuk menikmati isinya. Lain pula bagi mereka yang sudah biasa. Bau atau aroma akan membangkitkan selera mereka. Walaupun agak sukar, terkadang tertusuk duri, untuk membuka kulitnya namun sekiranya isinya memenuhi selera ianya akan mendatangkan kepuasan.. namun jika sebaliknya akan mendatangkan kekecewaan.

Disebabkan itu teknik pemilihan buah durian merupakan satu kemahiran yang perlu ada pada diri agar duit yang diberikan berbaloi dengan hasil yang diperolehi.

Durian apa yang best ya?


|

Wednesday, June 09, 2004

 
KESEORANGAN

Kumpulan Burung
Bercanda sambil makan
Sepi Di Hati


Kelihatan di luar sana. Di antara dahan pepohon nan rendang. Burung-burung kecil riuh berkicauan. Sambil menikmati buah kemerah-merahan yang melambai-lambai mereka bercanda sesama mereka. Berpagut-pagutan dan berkejar-kejaran. Telatah burung-burung ini pasti menggembirakan mereka yang sedang berada dipersekitaran. Namun pada yang sedang berduka keceriaan suasana tersebut belum tentu dapat mengangkat kedukaan yang sedang dialaminya. Mungkinkah kerana dirinya dikala itu tiada berteman. Teman untuk berkongsi cerita dan menikmati keindahan bersama.

Memang pada suatu ketika kita perlu bersendiri untuk meleraikan kekusutan yang berserabut dalam fikiran. Namun kita tidak boleh terlalu lama bersendiri kerana dikhuatiri kita akan terperangkap didalam kekusutan itu dan akhirnya tidak dapat melepaskan diri. Oleh sebab itu kita perlukan teman. Teman yang boleh membantu dan membimbing kita keluar daripada kekusutan itu..

Terlarik senyuman di mukanya
Apabila membaca kata-kata
Tulisan teman-temannya…

Tidak tahu apa yang terlintas
Difikirannya dengan kata-kata itu
Lucukah atau sebaliknya?

Yang pasti dia gembira
Kerana dia masih punya
Teman yang ingat padanya…



|

Tuesday, June 08, 2004

 
TERTEKAN

Lampu Berputar
Lonjak Ikut Irama
Jiwa Tertekan


Suasana di mana lampu berputar dan insan kelihatan terlonjak-lonjak mengikut irama yang didendangkan mengambarkan keriangan. Keriangan sementara kerana apabila suasana telah bertukar rupa maka hilanglah keriangan itu. Bahayanya walaupun bersifat sementara ramai yang terpengaruh dan ikut terbelenggu. Terbelenggu oleh suasana keseronokan pada tika dan saat itu.

Yang berilmu dan beriman suasana keseronokan sedemikian sebenarnya membuatkan diri mereka tertekan. Tertekan kerana walaupun telah diperkatakan akan matlamat kehidupan namun ianya hanyalah sekadar bahan bacaan semata-mata dan bukannya dihayati. Jiwanya bertambah tertekan kerana ramai yang membawa sepanduk dengan tulisan keinsafan namun hakikatnya berbeza dengan apa yang mereka amalkan. Mereka tanpa atau dengan sedar telah menarik rakan-rakannya terjun ke dalam arus. Arus yang kian lama kian deras menuju ke destinasi yang jauh berbeza dari apa yang mereka hajatkan.

|

Monday, June 07, 2004

 
RINDU

Merenung Bulan
Terimbas Kisah Silam
Sebak Di Dada


Entah kenapa malam ini ada yang mengusik hati ep. Mungkin tulisan di blog lady-emi menjadi penyebabnya. Mungkin juga pada ketika ini kaki di bahagian lutut sedang sakit. Ya.. teringat di saat2 begini ada yang melayani... menyapu minyak dan urut. Keadan bertambah menyentuh apabila lagu 'Angin Malam' dendangan Broery Marantika mengalun di udara. Oh.. hati ini menjadi rindu. Disebabkan permainan perasaan ep tidak dapat tidur. Bila dah tak dapat tidur.. apa lagi ep pun bangunlah dan hidupkan komputer dan layari web. Dan kebetulan pula sewaktu melayari web terserempak dengan web yang memainkan lagu yang terasa syahdu dimalam hari ini. Di antara lirik lagunya:

Mencari apa yang aku cari
Merangkai rindunya hatiku
Bulan bawa bintang menari
iringi langkahku
Malam hadir bawa diriku
berjumpa denganmu
Dua hati satu tujuan
melangkah bersama
Cinta hadir bawa diriku
menyentuh indahnya

http://www.nusa-bali.com/mid/Ikke-Nurjanah-Memandungmu.wma

Namun perasaan bergolak yang dirasakan itu hanya bersifat sementara saja. Keadaan menjadi terkawal semula...

|

Sunday, June 06, 2004

 
IJAB KABUL

Peluh Berputik
Dua Tangan Bersalam
Diijab Kabul


Ijab kabul. Sesuatu yang paling mendebarkan bagi teruna yang akan berkahwin. Berbagai kisah telah diceritakan perihal kejadian pada waktu teruna akan diijab kabulkan. Ada yang sekali sebutan sudah sah dan ada yang terpaksa mengulang untuk beberapa kali. Yang pasti butiran-butiran jernih keluar daripada dahi. Berpeluh. Mana taknya. Semua tumpuan pada siteruna pada saat itu. Pernah pada suatu masa dulu diceritakan yang siteruna terpaksa disuruh mengambil wudhu' semula. Dan yang paling dashyat ada yang disuruh mandi dan sholat sunat.

|

Saturday, June 05, 2004

 
KELAPA

Tinggi Melambai
Penawar Sakit Campak
Buah Kelapa


Dari kejauhan akan terlihat lambaian pokok kelapa. Batang yang meliut-liut ditiup angin seolah-olah menggamit kita untuk datang padanya. Kelapa banyak gunanya. Daripada peredu hinggalah ke daunya. Sebelum penemuan minyak sawit, minyak kelapa merupakan sumber utama orang-orang Melayu dan India dalam masakan kari. Dan khusus untuk orang N9 masak lemak cili padi tidak sah sekiranya tidak digunakan santan daripada kelapa.

Semalam di majlis kesyukuran ep telah dihidangkan dengan masakan masak lemak umbut kelapa. Ditambah dengan kerabu campuran ulam-ulam dan sambal, ep telah merasakan satu kenikmatan yang sekian lama ep tidak rasakan. Amat sesuai betul dengan selera ep. Sampai menjilat jari deh..

Sesiapa nak mencuba masak lemak umbut kelapa bolehlah layari laman web ni:

http://resepi.mesra.net/Detailed/1263.shtml

Tapi tak gerenatilah samada ianya memenuhi citarasa kalian.

|

Friday, June 04, 2004

 
INGAT DIRI

Dua sejoli
Bercanda atas dahan
Kaki mengcengkam


Kita sering lihat burung kakak tua bermesraan dengan pasangannya di atas dahan. Walaupun berputar tungging balik namun kakinya masih mengcengkam pada dahan tersebut. Dengan demikian mereka tidak jatuh ke bumi. Situasi demikian seolah-olah mengajar kita apabila berada didalam keadaan seronok mana pun agar kita mesti ingat akan diri.

Keadaan ekstreme, samada suka atau pun duka, sering mengakibatkan kita lupa diri. Maka terjadilah perkara-perkara yang menyalahi adat atau hukum. Kita lupa akan siapa kita pada hakikatnya...

|

Thursday, June 03, 2004

 
SIA-SIA

Hujan mencurah
Daun keladi segar
Tiada bekas


Air yang mencurah ditakung sebentar saja oleh daun keladi. Apabila bergoyang maka air tesebut akan terjatuh daripada daun tersebut. Berbeza dengan empangan. Air yang mencurah akan menyebabkan takungan air bertambah banyak.

Begitulah keadaan kita. Setiap hari kita dihujani oleh maklumat. Namun berapa peratuskah yang bertukar menjadi ilmu. Ilmu yang memperlihat dan menyedarkan kita akan kesalahan-kesalahan yang telah kita lakukan selama ini. Ilmu yang seharusnya dijadikan benteng untuk menangkis desakan dan godaan musuh-musuh. Namun kesedaran yang diperolehi itu hanya bersifat sementara. Ramai yang terikut-ikut dengan keadaan. Akhirnya mereka akan hanyut dibawa arus. Arus keduniaan yang menyeronokan.

Mengapa dibiarkan diri...?

|

Tuesday, June 01, 2004

 
KOMUNIKASI

Kicauan burung
Sonar paus bergema
Angguk kepala


Bentuk komunikasi di antara makhluk yang dijadikan Allah SWT bermacam-macam. Semuanya bergantung kepada kekuatan panca indera dan otak untuk memproseskannya. Oleh kerana kekuatan memproses maklumat atau data berbeza maka tidak heranlah sekiranya terjadi kesalahan menginterpretasikan maklumat yang diterima.

Cara atau teknik penyampaian agar sipenerima mengerti akan perkara yang disampaikan merupakan satu bidang ilmu yang perlu dipelajari. Apatah lagi ilmu tersurat dan tersirat…

|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com