Monday, August 30, 2004

 

DIA DATANG LAGI!

Jalan Berdengkut
Sakit Menganggu Tidur
Gout Bertandang

Tanda-tanda gout akan datang memang telah dirasakan sejak minggu lepas lagi. Mana taknya pada sabtu hadir dua walimah dan pada hari minggu dua walimah juga. Pada tika itu badan terasa lenguh-lenguh dan 'lethargic'. Walaupun dalam keadaan demikian ep masih lagi mempunyai kekuatan lagi untuk pergi berkerja. Nak dijadikan cerita pada malam jumaat makan nasi lombok yang disedekahkan di masjid berlebihan. Jadi ep pun sental beberapa mangkuk. Bermula dari situ tapak kaki dah terasa sakit. Tapi masih 'tolerable'.

Malam minggu ep dijamu oleh Pnut dengan spagethi bolongeh (ikut istilah salina). Lincin dua mangkuk. Sakit yang sedikit dah mula bertambah. Jalan dah mula berdengkut-dengkut. Malam tu semasa makan di 'D' limau nipis', Bangi, rasa juga dua keping daging masak merah yang tak merah.

Hari minggu ke rumah Mely. Walimah untuk abang dia. Nampak rendang dan umbut nyiur masak lemak. Terliur selera. Apa lagi tibai. Malamnya dinner di Muara jamah dua tiga keping sotong goreng. Supper di Batu Tiga, Shah Alam pekena kopi panas dan char koew teow kerang. Char koew teow tu sebab Purbe dan Mat Jan dok kempen sangat yang Char Koew Teow kat Penang betoi2 kelas paling tinggi. Sebut aje nama char koew teow penang.. Mat Jan akan mula 'drooling'.

Efek keseluruhan benda-benda terlarang masuk dalam perut, kaki ep jadi bengkak memerah di dua tempat. Malam tadi denyutannya sungguh membisa. Ep yang dikatakan boleh tahan sakit terpaksa juga ambil 'painkiller' pada pukul 4.00 pagi.Lani kalau angkat kaki terasa macam ibu jari kaki macam nak terlepas. Sakit wooi!

Kalau sakit yang dicari.. jangan dok komplain noo.. kena terimalah padahnya. Ep teringat akan kata-kata Imam Ghazalli yang dibacakan oleh ustaz yang memberi tazkirah di MDESJ... "sakit itu suatu nikmat". Tu bagi depa yang makam dah tinggi.

Nota: Foto di atas bukan foto kaki ep.


|

Thursday, August 26, 2004

 
LAYANG PUTUS TALI



Tinggi Di Awan
Layang Putus Talinya
Merenung Jauh


Alangkah gembiranya melihat layang-layang terbang tinggi di awan. Ke kiri dan kanan mengikut irama tarikan tali pemain. Tambah gembira lagi bila layang-layang tersebut mengeluarkan suara ketika melayang.

Namun kegembiraan awal itu bertukar menjadi sedih apabila layang-layang putus talinya. Layang-layang yang tadinya terkawal kini melayang dibawa angin. Jauh dan tidak akan kembali lagi. Sinaran mata empunya yang tadinya memancar kegembiraan bertukar menjadi kesedihan. Sayu merenung layang-layang yang telah mula hilang dari pandangan.

Begitulah juga kita manusia yang telah kehilangan. Yang pergi tetap pergi dan tidak akan kembali lagi. Yang ditinggalkan terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan. Keadaan tanpa teman disisi menyelusuri liku-liku kehidupan.

Walaupun apa yang terjadi ep bersyukur kepada Illahi kerana mempunyai ramai rakan dan taulan. Dengan demikian hidup ini tidaklah sunyi. Apa yang ep khuatiri bukanlah diri sendiri kerana ep dapat mengawal diri tetapi kesejahteraan anak. Ep beranggapan masa yang ep lapangkan untuk mendidik dan membimbing mereka terasa sedikit sekali. Itulah yang merisaukan ep.

|

Tuesday, August 24, 2004

 
BILA AKHIRNYA?

Ombak Menggulung
Air Mata Mengalir
Jiwa Derita

Kesempatan cuti hujung minggu ep gunakan untuk layari beberapa blog teman. Ada beberapa blog yang telah berkubur dan ada juga yang telah menjadi usang dek terlalu lama tidak dikemaskini. Di beberapa blog yang masih berpenghuni terdapat berbagai cerita dan kisah. Kisah dipersekitaran dan kisah-kisah pribadi. Ada yang suka dan ramai yang menceritakan tentang duka. Kesempitan pribadi. Begitulah adat hidup di dunia ini. Diri senantiasa diuji. Suka duka silih berganti.

Walau apa pun yang terjadi kita mestilah tabah menghadapi segala dugaan yang sedang melanda. Islam mengajar kita untuk tidak berputus asa. Senantiasalah pohon rahmat dan hidayat daripada Allah SWT. Semoga dengan doa-doa yang dipohonkan itu Allah SWT kabulkanya dan kesusahan kita terangkat.

Namun harus diingat bilamana doa-doa itu dikabulkan (segera, dilambatkan atau diakhirat) tergantung kepada Allah SWT. Dia yang Maha Mengetahui akan segalanya.

|

Monday, August 23, 2004

 
KUBUR

Kubur Yang Usang
Tanah Terbenam Mendap
Sepi Menanti


Sudah lebih 100 hari isteri ep meninggalkan dunia ini. Beberapa hari yang lepas ep pergi lagi ke pusara isteri ep. Timbunan tanah yang menutupi lubang kubur kini telah mendap di bahagian tengah berikutan reputnya papan penutup liang lahat dan jasad. Kini sudahlah sampai masanya untuk menambah tanah dibahagian yang mendap itu dan membuat struktur agar tanah tidak mendap lagi dan meletakkan batu nesan sebagai tanda. Struktur yang ep tempah daripada penggali kubur yang berkerja di situ adalah 'simple' sahaja.

Di tanah perkuburan ini terdapat beberapa kubur yang dijaga dengan rapi. Tanaman pokok yang hidup segar di antara dua batu nesan. Namun begitu terdapat jua kubur yang seperti tidak dijaga. Kelihatan terbiar saja. Mungkin sanak saudara penghuni kubur tersebut tinggal berjauhan daripada situ. Dengan demikian mereka tidak berkesempatan untuk menziarahinya.

Tiga perkara menghantar mayat ke kubur. Dua diantaranya pulang dan hanya satu yang tinggal bersamanya. Kira-kira cukup tak bekalan kita di alam barzakh itu?

|

Sunday, August 22, 2004

 
RAJA SEHARI

Pelamin Indah
Mesra Sambut Tetamu
Raja Sehari


Musim cuti sekolah dan musim berkahwin kini datang beriringan. Kalau dulu pada kebiasaannya guru-guru akan mengambil kesempatan cuti sekolah untuk mengadakan majlis kahwin mereka namun kini ianya bukan menjadi hak mutlak guru-guru lagi. Ramai yang telah mengambil kesempatan musim cuti sekolah untuk mengadakan majlis perkahwinan mereka.

Pada minggu ini ep telah menerima enam jemputan kahwin. Satu perkahwinan teman ep dan selebihnya perkahwinan anak2 teman ep. Bagi kaum keluarga pengantin yang tinggal berdekatan maka dah menjadi kelaziman diadakan majlis perkahwinan serentak (joint wedding reception). Secara tidak langsung ianya dapat menjimatkan kos memandangkan majlis perkahwinan itu diadakan di dewan sesebuah restoran atau pun hotel.

Satu pertanyaan yang pasti ditujukan kepada ep apabila bertemu dengan teman-teman adalah bila lagi?

|

Wednesday, August 18, 2004

 
LALAT

Minuman Panas
Lalat Mati Terapung
Kuman Membiak


Al-Quran merupakan suatu mukjizat. Di dalamnya tertulis beberapa perumpamaan. Ada yang jelas dan nyata dan ada juga yang masih belum lagi diperlihatkan hikmah disebalik perumpamaan itu. Salah satu contoh atau perumpamaan yang kini baru difahami oleh kita adalah lalat.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala bermaksud:
"Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat-pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah." (Surah al-Hajj: 73)
Salah satu perkara yang unik terdapat pada lalat adalah racun dan penawar pada dirinya. Ep malas nak terjemah jadi bacalah rahasia lalat seperti yang tertulis ini.

'The Translation of the Meanings of SAHIH AL-BUKHARI, Arabic-English translation by Dr. Muhammad Muhsin Khan, published by Darussalam, Riyadh, Saudi Arabia. The text of the Hadith and the footnote appear in Volume 7, Book 76 Entitled 'The Book of Medicine', Chapter 58, Hadith Number 5782, Pg. 372.

(H. 5782) Medically it is well-known now that a fly carries some pathogens on some parts of its body as mentioned by the Prophet (s.a.s.), [before 1400 years approx. when the humans knew very little of modern medicine]. Similarly Allah (S.W.T.), created organisms and other mechanisms which kill these pathogens, e.g., Penicillin Fungus kills pathogenic organisms like staphylococci and others etc. Recently experiments have been done under supervision which indicate that a fly carries the disease (pathogens) plus the antidote for those pathogenic organisms. Ordinarily when a fly touches a liquid food it infects the liquid with its pathogens, so it must be dipped in order to release also the antidote for those pathogens to act as a counter balance to the pathogens. Regarding this subject I also wrote through a friend of mine to Dr. Muhammad M. El-Samahy chief of Hadith Dept. in Al-Azhar University, Cairo (Egypt), who has written an article upon this Hadith, and as regards medical aspects, he has mentioned that the microbiologists have proved that there are longitudinal yeast cells living as parasites inside the belly of the fly and these yeast cells, in order to repeat their life cycle, protrude through respiratory tubules of the fly and if the fly is dipped in a liquid, these cells burst in the fluid and the content of those cells is an antidote for the pathogens which the fly carries.

|

Sunday, August 15, 2004

 
RIBUT TAUFAN

Angin Yang Kencang
Barang Melambung Tinggi
Remuk Binasa

Ribut yang baru saja melanda beberapa negara telah menyebabkan beberapa orang menjadi mangsa dan harta musnah. Pada sangat ribut melanda itu tiada seorang manusia pun boleh menahan akan kuasa ganas itu. Terdapat beberapa kisah didalam Al-Quran dimana beberapa kaum telah dimusnahkan dengan cara bencana alam yang begitu kuat. Salah satunya adalah kisah dimana kaum 'Aad (kaum Nabi Hud as) telah dimusnahkan dengan angin taufan yang begitu kuat.

Pada sholat subuh hari ini Imam di MDESJ telah membaca surah Al-Haaqqah (Hari Qiamat) dan tazkirah yang disampaikan setelah sholat menyentuh tentang surah tersebut. Dalam surah dinyatakan kaum-kaum yang telah dimusnahkan akibat keengganan mereka untuk mendengar dan mematuhi ajaran yang dibawa oleh Rasul.

Keadaan di zaman ini pun begitu juga. Ramai yang mengetahui akan adanya hari kiamat namun masih terlalu ramai yang seolah-olah menafikan kewujudannya.

Semoga kita termasuk didalam golongan yang senantiasa ingat...

|

Monday, August 09, 2004

 
CABUT GIGI


Mulut Dibuka
Gigi Berkaki Tiga
Pedih Terasa


Gigi berfungsi bukan sekadar untuk mengunyah makanan tetapi malah lebih daripada itu. Tanpa gigi yang sempurna sukar bagi kita untuk membuat sebutan yang betul. Kejelitaan atau kehenseman seseorang juga turut terjejas jika tiada gigi.

Kenikmatan makan secara tak langsung menurun apabila gigi asli telah diganti dengan gigi palsu. Banyak cerita yang kita telah dengar tentang tertanggalnya gigi palsu apabila memakan makanan yang liat seperti dodol. Makanan yang keras dan liat juga turut memberi masalah.

Salah satu tanda seseorang itu telah berumur adalah berkurangnya gigi. Walaupun mereka yang kehabisan gigi boleh mengganti dengan gigi palsu namun sebahagian besar orang-orang tua memilih untuk tidak memakai gigi palsu. Mungkin mereka merasa kurang selesa.

Gigi ep dah banyak berkurang. Disebabkan adanya ruangan kosong pada gusi maka beberapa gigi ep sudah tidak tumbuh tegak ke atas atau bawah tetapi mengikuti ruang-ruang kosong yang ada pada gusi. Dah berselerak. Pada ep oklah sebab ep dah berumur. Tetapi pada anak muda terutama pada gadis ianya menjadi satu masalah besar. Untuk mencantikkan gigi agar ianya tumbuh dengan teratur ramai yang sangup membayar ribuan ringgit untuk memakai ‘braces’ dan sebagainya.

|

Sunday, August 08, 2004

 
GULAI IKAN TALANG KERING

Kari DiHidang
Bicara Sambil Makan
Kenyang Terasa

Pada hari sabtu selera makan ep terbuka apabila melihat juadah yang dihidangkan oleh Pnut. Gulai ikan talang kering, kerabu perut, ayam goreng, air asam, ulam raja dan papadom. Apa lagi ep pun syapadulah. Tambah nasi sepinggan lagi. Isi perut ep jadi sendat apabila air oren masuk. Nikmat sekali apabila bertemu dengan masakan yang dapat membuka selera. Memang sejak akhir-akhir ini selera makan ep agak menurun sedikit. Tak tahulah samada perut sering kemasukan angin atau dah memang lumrah alam apabila umur dah meningkat selera makan pun menurun. Terkadang ep sendiri pun dah tak tahu apa yang ingin dimakan. Perut tak terasa lapar.

Pagi tadi ep bersarapan dengan nasi kandar. Dah lama juga tak pekena nasi kandar. Nasi kandar kat warung ni dulu rasanya 'best' tetapi kini terasa ada sedikit 'kureng'. Agak sukar nak kenalpasti apakah kekurangannya tetapi memang terasa ada 'kurengnya'. Seperti biasa apabila dah bersarapan pagi ep akan 'skip' makan tengahri. Cukup sekedar minum air secawan dan makan biskut beberapa keping.

|
 
UJIAN

Mata Nan Sayu
Tiub Sambung Ke Badan
Ibu Menunggu

Setiap saat kita akan menghadapi ujian atau halangan hidup. Halangan atau ujian hidup datangnya dalam berbagai bentuk. Kesihatan, kemiskinan dan ketidakupayaan merupakan contoh-contoh yang sering dikaitkan. Keberhasilan atau kegagalan kita untuk mengatasi ujian-ujian tersebut banyak bergantung kepada kecekalan diri. Samada kuat atau lemah. Bagi yang kuat, insyaAllah, mereka akan berjaya.

Kebelakangan ini ep kerap menerima berita bersangkutan teman-teman yang sedang menghadapi berbagai ujian. Ada yang agak gentir dan ada juga yang bolehlah dikatakan 'biasa' dalam pola kehidupan sekarang ini. Dalam keadaan yang terhad mana yang boleh dibantu ep bantu. Namun yang pasti ep akan senantiasa memberi dorongan untuk memulihkan semangat teman-teman yang sedang 'down' itu agar kembali ceria.

Pada hari Sabtu yang baru lalu, Tokei Pajak Gadai, Pnut, Namji dan ep telah pergi melawat beberapa teman GEJU di beberapa hospital. Pertama kami pergi melawat Mohamed Zulfikar @ Piko yang sedang dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Kelang. Beliau berada di wad 8B, katil 25A. Semasa kami di sana kami lihat beliau sedang ditemani oleh ibu dan ayahnya.

Kedua kami pergi ke Shah Alam. Tujuan untuk melawat Manmoncang@Poad. Beberapa kisah berlaku sewaktu kami sedang mencari kepastian di hospital mana Poad berada. Selangor Medical Centre atau Darul Ehsan Medical Centre? Maka kami pun 'calling' teman-teman yang pernah pergi melawat beliau. Tapi malangnya mereka2 itu semuanya tidak dapat dihubungi. Mujur dapat kepastian setelah ep dapat hubungi Hanyasayang. Setelah pekena minuman disalah satu gerai di Seksyen 16 kami pun bergegas ke Darul Ehsan Medical Centre. Malangnya setibanya di situ kami diberitahu oleh penyambut tetamu bahawa Poad baru sahaja di 'discharge' sebelum tengahari tadi.

Terakhir dari Shah Alam kami ke HKL untuk melawat isteri Jigomorison. Pada waktu kami sampai di situ jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. EP bertanya kepada Tokei waktu melawat sampai ke jam berapa. Beliau dengan begitu 'confidence' mengatakan jam 7.30 malam. Tokei & keluarga pergi melawat isteri Jigo sementara EP pergi ke surau untuk sholat asar. Selesai sholat ep pun pergilah ke wad bersalin. Terserempak dengan Tokei & keluarga di pintu masuk. Mereka beritahu waktu melawat dah habis. Rupa2nya waktu melawat sampai jam 6.30 petang dan mereka kata mereka merupakan pelawat terakhir dibenarkan masuk wad. Apa nak buat sudah ditakdirkan sedemikian.

|

Thursday, August 05, 2004

 
TANYA DIRI?

Asap Nan Tebal
Api Menjilat Rumah
Diri Membeku


Tonjol menonjol. Bukan tonjol menonjol bola snooker atau billiard tetapi tonjol menonjol diri untuk mendapatkan perhatian. Ada yang menonjolkan dirinya sendiri dan ada pula yang menggunakan orang lain untuk menonjolkan dirinya. Apa pun kaedahnya tujuan utamanya adalah untuk mendapatkan perhatian. Sekiranya penonjolan dirinya adalah untuk menegakkan agama Allah, alhamdulillah. Namun sekiranya apa yang dilakukan adalah untuk kepentingan pribadi maka rugilah dia di akhirat nanti.

Setiap muslim mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk memberi penerangan tentang Islam berdasarkan kemampuan dan cara masing-masing. Janganlah kita kedekut ilmu dan sombong. ICT dan secara tak langsung ber’blogging’ merupakan satu kaedah dimana ilmu dapat disebarkan. Pada masa yang sama melalui ‘blogging’ mereka dapat saling nasihat menasihati dan ingat mengingati. Ini secara tak langsung dapat mengeratkan ikatan sesama mereka. Dan InsyaAllah dengan ikatan tersebut, mereka bersama menyelusuri jalan ke destinasi yang satu yakni pulang ke tempat asal.

Selalulah ingat akan kisah kelakuan seekor burung kecil yang bersusah payah berulang alik membawa air dalam paruhnya untuk memadamkan api yang sedang membakar Nabi Ibrahim as. Kata-kata burung kecil tersebut ketika menjawab soalan makhluk-makhluk yang berdiam sahaja, “Memang ia tidak akan memadamkan api tersebut, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya samada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak”.

|
 
DUNIA BARU

Salji Mencair
Tunas Tampakkan Diri
Musim Bermula

Hospital Selayang. Insan yang dinantikan sekian lama tiba jua akhirnya hatta melalui perut ibunya. Bayi perempuan seberat 3.6 kg. Ini merupakan anak kedua kepada keluarga Sdr Idham. Yang pertama anak lelaki. Tahniah diucapkan kepada Sdr Idham & keluarga.

Seriadriani, Salina, Melati dan ep berkesempatan melawat isteri sdr idham dan bayi pada tengahari tadi. Pada ketika itu ibubapa idham pun hadir sama. Bayi yang baru lahir diletakkan di bawah sinaran cahaya UV bersebelahan dengan ibunya. InsyaAllah ibu dan anak akan dibenarkan keluar dalam masa satu atau dua hari lagi.

Sempena menyambut kelahiran anggota baru dalam keluarga, ibubapa Idham bercadang untuk mengadakan majlis aqiqah bagi cucu-cucu (tiga perempuan dan satu lelaki) mereka tidak lama lagi. Tempatnya di Pontian, Johor.

Nama anaknya. Kena tunggu selepas majlis aqiqah dan potong jambul...

|

Tuesday, August 03, 2004

 
KETANDUSAN

Bumi Merekah
Kosong Tanpa Huni
Perit Menanti

Bumi merekah dek ketandusan air. Manusia pening dek ketandusan ide samada untuk menyelesaikan permasalahan yang sedang dihadapi atau berbuat sesuatu yang baru. Tidak dinafikan ada kalanya ide datang mencurah-curah. Tak tahu mana datangnya inspirasi sedemikian banyak namun sekiranya iaspirasi itu dibiarkan berlalu, i.e., tidak dicatitnya dalam buku nota, maka amat sukar untuk mengingatkannya kembali.

Dalam bidang penulisan, tak kiralah samada menulis novel ataupun laporan, kita begitu laju sekali menulis tatkala ide atau inspirasi bersama kita. Perjalanan penulisan itu begitu lancar dan kita begitu gah. Makan dan minum terkadang berlalu tanpa hirau. Namun terdapat juga kala dimana ide atau inspirasi kering. Terasa amat sukar bagi kita untuk menulis hatta sepotong ayat. Ada saja yang tak kena.

Bagaimana nak dapatkan ide dan ‘mood’ untuk menulis….

|

Sunday, August 01, 2004

 
HUJAN

Awan Berhimpun
Hujan Mencurah Bumi
Katak Berpesta

Hujan yang mencurah-curah membuatkan sebahagian besar tempat digenangi air. Sebahagian manusia berkeluh kesah apabila hari hujan. Ini adalah kerana beberapa aktiviti yang mereka cadangkan tergendala. Di kota metropolitan seperti KL, hujan yang lebat seringkali menyebabkan sesetengah kawasan di naiki air. Dan ini membawa padah kepada pengguna jalanraya. Jem di sana dan jem di sini.

Namun begitu ada makhluk Allah SWT yang paling gembira selepas hujan. Di sana sini akan kedengaran suara katak bersahut-sahutan seolah-olah mereka sedang berpesta. Berbagai irama dan melodi diperdendangkan. Mungkin yang pakar tentang katak akan dapat membezakan jenis-jenis katak berdasarkan suara atau bunyi tersebut.

Hujan di waktu pagi. Tarik selimut menggulung diri. Sambung mimpi...

|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com