Monday, May 31, 2004

 
MUSIM KAHWIN

Pengantin baru
Dua sungai bertemu
Bertambah besar


Kesempatan musim cuti sekolah dimenfaatkan oleh sebahagian besar warga Malaysia untuk pergi bercuti ke tempat-tempat rekreasi dan percutian. Tak kurang pula yang ambil kesempatan ini untuk mengadakan majlis perkahwinan. Kalau dulu yang sering didengar mereka yang berjawatan guru menggunakan peluang musim cuti sekolah untuk aktiviti ini tetapi kini tidak lagi. Tujuan utama adalah untuk memberi peluang kepada rakan tualan yang tinggal jauh agar dapat turut serta meraikan majlis tersebut. Disebabkan tertumpunya majlis tersebut pada musim cuti maka tak heranlah ada yang menerima beberapa undangan pada hari yang sama.

Rakan GEJU yang belum kahwin tu bila lagi?

|

Sunday, May 30, 2004

 
PEMINAT

Senyum dibibir
Sopan tutur bahasa
Peminat ria


Pesta buku di PWTC telah menarik ramai pengunjung jauh dan dekat. Berbagai buku, majalah dan novel dipamerkan buat tatapan dan juga belian yang berminat. Bagi peminat-peminat novel ada bonus kerana pengarang atau novelis kesayangan turut hadir menyerikan suasana. Sri Diah , rakan akrab kita, turut hadir di sini untuk beberapa hari.

Semasa di sana ep dan zar sempat melihat Sri melayani beberapa orang peminatnya. Walaupun keletihan akibat terlalu lama berada disitu Sri masih ceria melayan soalan-soalan. Tulisan kata-kata pilihan turut dibuatnya pada awal permukaan novel yang dibeli peminatnya.

Sifat atau kemampuan dalam pengawalan diri ini, terutama dalam suasana yang tidak menyeronokan atau membebankan, penting dalam kerja-kerja hubungan awam bukan saja untuk Sri tetapi untuk kita juga. Secara tidak langsung ianya mencerminkan keperibadian.

Sri.. sori sebab ep terlupa nak conteng-conteng kat buku nota(?) Sri. Bila sampai kat rumah baru teringat. Begitulah yang selalu terjadi apabila kita menangguhkan sesuatu kerja.. terlupa akhirnya.

|

Saturday, May 29, 2004

 
MENYESAL

Pohon terlarang
Badan terlihat aurat
Langgar perintah


Amat sukat bagi kita untuk memahami akan ilmu yang tersirat. Ianya banyak bergantung pada ilmu yang ada pada diri. Sesuatu ayat atau perkataan dapat atau boleh memberikan beberapa interpretasi. Dari itu penting bagi kita untuk terus belajar dan belajar daripada ramai guru. Dengan demikian ilmu-ilmu yang kita dapat itu akan saling melengkapkan.

Semalam sewaktu kelas tafsir ustaz telah menceritakan kisah Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. yang telah membuat ep nampak sesuatu. Semua telah dengar akan kisah ini. Adam dan Hawa dikeluarkan daripada syurga kerana melanggar perintah. Puncanya hasutan daripada iblis agar mereka makan buah daripada pohon terlarang. Akibatnya diperlihatkan aurat mereka.

Sesuatu yang baru bagi ep adalah hubung kait di antara makanan dan aurat. Dengan memakan makanan yang dilarang ianya boleh mengakibatkan aurat kita terdedah. Cuba kita renungkan...


|

Thursday, May 27, 2004

 
INDAH

Kicauan burung
Bercanda berterbangan
Mengapa sedih


Walaupun perut kosong namun burung kelihatan ceria memulakan pencarian rezeki dipagi hari yang cerah. Kicauan, sahut bersahutan sesama mereka menceriakan suasana. Pengajaran yang boleh diambil daripada kehidupan burung adalah mulakan kehidupan harian dengan ceria walaupun kita tidak tahu apa yang bakal berlaku. Sama juga seperti burung, ceria walaupun belum tahu rezekinya dimana.

|

Wednesday, May 26, 2004

 
SIAPA AKU

Azan bergema
Sujud taat pada Nya
Masih lena


Ramai telah lalai akan siapa dirinya. Untuk apa dia dilahirkan di dunia ini. Saban hari ramai yang telah meninggalkan suruhannya. Malah ada yang berani mencabar perintahNya. Mereka lupa yang mereka adalah hamba. Hamba kepada pencipta alam ini. Hamba yang perlu patuh kepada perintah. Tidak banyak yang diperintahkan. Hanya buat apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang. Itu saja...

Tarikan dan dorongan kepada perkara yang dapat melalaikan kita daripada mengingati perintah Allah SWT semakin hari semakin kuat. Sodokan pelbagai dari berbagai arah dapat melemahkan benteng yang terbina sekiranya tidak diperkokohkan setiap masa.

Disinilah kita perlukan teman. Teman yang dapat menegur, saling mengingati dan membimbing kita. Juga bersama mengharungi cabaran kehidupan.


|

Sunday, May 23, 2004

 
KERIANGAN

Senyum melebar
Penantian berakhir
Kereta baru


Keresahan dan kekesalan untuk sekian lama kini telah berakhir. Yang ditunggu telah sampai walaupun ianya bukan pilihan asal. Dek kerana keserongan jurujual maka terjadilah perkara yang tidak diingini yang mengakibatkan terputusnya perjanjian asal. Bermacam-macam perkara menyakitkan perasaan dan yang membuatkan tekanan darah naik berlegar di jiwa. Walaupun mengalami kerugian akhirnya keputusan diambil untuk membeli daripada jurujual lain dan jenis kereta yang lain. Begitulah yang terjadi kepada teman ep. Kita tidak tahu kenapa perkara tersebut terjadi. Kenapa Allah SWT tukarkan WAJA kepada KIA. Namun yang pasti ada hikmah disebalik apa yang telah terjadi. Yang penting bagi kita adalah redha terhadap ketentuan Allah SWT.

Kini wajah yang 'comot' telah berganti dengan senyuman melebar. Kereta yang baru diterima telah dipasang dengan berbagai aksesori agar kelihatan lebih gah. Fikiran yang dulunya kusut telah menjadi tenang dan terarah semula. Begitulah perasaan kita apabila mendapat apa yang diidamkan dan terangkatnya satu persoalan. Pesanan ep kepadanya agar ia mohon keampunan daripada Allah SWT dan berdoalah perkara kebaikan dan buangkanlah perkara yang menyakitkan. InsyaAllah Allah SWT akan mengantikannya dengan ganjaran yang lebih baik dan memberikan ketenangan ke dalam jiwanya disebabkan itu. Yakinlah.



|

Saturday, May 22, 2004

 
TENSION

Mentari merah
Kereta tak bergerak
Darah melonjak


Setiap pagi keadaan yang sama terpapar. Jalan raya bersesakan dengan kereta. Bagi yang tidak sabar sepagi begini pasti tekanan darahnya sudah melonjak. Keadaan bertambuh buruk dengan adanya beberapa pemandu yang potong 'Q'. Namun ada juga yang kelihatan santai. Menyanyi mengikut irama dendangan lagu yang terpancar dari radio. Kenapa sebahagian insan dapat menghadapi cabaran dengan begitu santai namun sebahagian yang lain menghadapinya dengan cemas?

|
 
PUNCA

Gumpalan asap
Bayang sebalik tabir
Siapa dalang


Asap dapat mengaburkan pandangan. Asap juga boleh membuatkan seseorang itu kurang senang kerana ianya dapat mengairkan mata seseorang itu dan juga kadang kalanya ia dapat menyesakkan pernafasan. Begitulah keadaannya bila berlaku masalah. Keadaan yang boleh membuatkan fenomena seperti masuknya asap ke dalam mata dan paru. Bila kita sudah berada di dalam keadaan demikian agak sukar bagi kita untuk melihat dengan jelas akan penyebab atau punca masalah. Dimanakah punca api yang menyebabkan asap itu? Apa yang harus kita lakukan agar kita dapat memadamkan punca atau api tersebut?

Disuatu senario lain seringkali apabila terjadinya masalah yang melibatkan beberapa orang maka biasanya tiada seorang pun akan mengaku kesalahan atau masalah itu berpunca pada dirinya. Umumnya seseorang itu akan menuding jari kepada orang lain. Jika ini berterusan maka tidak akan diketemui akan punca masalah sebenar.



|

Wednesday, May 19, 2004

 
BUKA MINDA

Langit terbentang
Hama di depan mata
Minda tertutup


Keadaan enak biasanya akan membuatkan kita takut untuk keluar daripada keadaan tersebut. Hal ini boleh menyebabkan kita berpendirian pentingkan diri sendiri dan sempit fikiran.Keadaan dimana pada suatu masa kelak kita boleh diibaratkan seperti katak di bawah tempurung.

Kita adalah khalifah di muka bumi ini. Dengan itu kita dipertanggungjawabkan dengan bebanan tugas. Tugas dimana tatacaranya mesti berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Apabila kita berkumpulan dan ingin mendirikan sholat berjemaah maka hendaklah kita melantik seseorang daripada kumpulan tersebut untuk mengetuai sholat sebagai imam. Apabila kita mengembara dalam kumpulan maka kita kenalah lantik seseorang daripada kumpulan tersebut untuk menjadi ketua. Jelas disini kita telah diajar peranan ketua dan pengikut. Mereka mempunyai tanggungjawab tersendiri dan mereka dimestikan mengikut peraturan yang termaktub. Sebagai contoh lihat kumpulan itik yang terbang berkumpulan melintasi benua. Mereka terbang berkumpulan dalam bentuk tertentu (biasanya V). Ketua kumpulan bersilih ganti mengikut keadaan. Pengikut senantiasa memberi dorongan dengan mengeluarkan suara. Itu adalah satu pengajaran.

Oleh yang demikian bukalah minda agar apa yang kita kerjakan mendapat rahmat dan keredhaan daripada Allah SWT. Percayalah dengan berbuat demikian jiwa kita akan menjadi tenang dan kita akan melangkah maju.

|

Saturday, May 15, 2004

 
KLD

Kocakan air
Lena dalam perahu
Masih terkenang


Kem Lambaian Daun.. bukan Daun tetapi Danau ler. Begitulah kata-kata teman semasa kami berada di KLD sewaktu masa dulu. Foto dimana ep sedang lena di dalam perahu menjadi suatu kenangan indah.

Hari ini teman-teman ep ke sana lagi. Kali ini kumpulan mereka lebih besar daripada yang dahulu. Kalau dulu kami berada disana sebagai tetamu gratis tetapi kali ini sebagai tetamu berbayar. Beberapa aktiviti telah diatur. Pasti mereka akan berseronok walaupun badan akan terasa keletihan. Sayang sekali EP tidak dapat bersama pada kali ini dek kerana beberapa urusan yang memerlukan kehadiran ep.

EP doakan semoga tercapai apa yang telah dirancang dan GEJU maju setapak lagi..

|

Friday, May 14, 2004

 
MASIH PENAT

Nafas tercunggap
Badan terketar ketar
Pengemis tua


Apabila usia bertambah maka gegala sesak nafas atau semput setelah melakukan kerja-kerja fisikal bolehlah dikatakan normal. Gejala ini akan bertambah kronik sekiranya diri telah berhenti melakukan riadah. Senaman atau riadah penting dalam kehidupan. Satu ianya dapat memesongkan fikiran daripada tumpuan terhadap kerja kepada yang lain daripada itu dan keduanya ianya dapat mengeluarkan bahan-bahan toksin daripada badan melalui peluh yang terkeluar.

EP bolehlah dikatakan 'all-rounder' apabila bersukan. Bolehlah dikatakan semua jenis sukan ep boleh main. Namun itu dulu. Sekarang dah sangat berkurangan ep bersukan. Terakhir ep bermain badminton seminggu dua kali tetapi kini ep dah berhenti sama sekali. Tiada kesesuaian masa. Mungkin disebabkan itu ep merasa kurang cergas dan 'pegal-pegal aje' di seluruh badan. Nak kena pi urut buang angin daripada badan. Ada sesiapa nak rekomen kat mana yang sesuai?


|

Thursday, May 13, 2004

 
PENAT

Akhir-akhir ini ep agak kepenatan.. baik dari segi mental dan fizikal. Aktiviti yang berterusan menyebabkan ep kurang rehat. Empat hari di luar kota dan dilanjutkan hari ini seharian di HQ. Rasa nak tidur aje. Disebabkan itu tumpuan untuk penulisan pada blog jadi lemah.

Sori ya geng.. Nak pi tidok... Bila kecergasan telah pulih semula, insyaAllah ep akan teruskan penulisan di blog ini.

|

Friday, May 07, 2004

 
MUSIM WALIMAH DATANG LAGI

Hidangan enak
Selera tak terkawal
Meringgis sakit


Bulan Mei merupakan bulan dimana ramai ibubapa mengadakan walimah untuk anak-anak mereka. Ini adalah kerana bulan Mei bersamaan dengan cuti penggal sekolah. Kini boleh dikatakan pada setiap hujung minggu ada saja jemputan untuk menghadiri walimah. Ada yang dekat dan tak kurang pula yang agak jauh. Bagi yang mengidap penyakit darah tinggi atau pun gout tercabar juga mereka dengan hidangan makanan yang enak-enak. Nampak gayanya kenalah sediakan ubatan sebagai langkah berjaga-jaga.

|

Tuesday, May 04, 2004

 
MENGEMAS RUMAH

Selema dua hari ep mengemas rumah atau dengan lebih tepat memindahkan pakaian lama dan pakaian almarhum isteri ep dari almari ke dalam beg. Terasa lega apabila pakaian lama telah dipindahkan ke dalam tiga beg pakaian. Selepas ini nak fikirkan pulak apa nak buat dengan pakaian lama tu. Selain pakaian ep terjumpa juga dengan barangan kaca seperti corning-ware dan vision-ware yang diletakkan di dalam almari pakaian. Seingat ep almarhum isteri ep belum pernah menggunakan barangan kaca tersebut untuk memasak. Beli dan simpan. Kalau macam ini alangkah baiknya jika barang tersebut di simpan di kedai. Buat menyemak rumah aje. Cakap perkara ini pada perempuan pasti akan mendapat respons paling menggalakan. Betul tak?

Semasa ep membersihkan isi kandung beg tangan isteri ep terjumpalah kad kedatangan ke HUKM. Tertera di baris pertama temujanji bertarikh 7 Julai 1987. Pada masa itu klinik HUKM di Kuala Lumpur berkongsi bangunan dengan Hospital Besar Kuala Lumpur. Klinik pada masa itu dikendalikan oleh Prof Dr Izham Chong dan dibantu oleh Dr Norlela Kong (sekarang nih bergelar Datin Prof Dr Norlela Kong). Kalau dihitung almarhum isteri ep telah mengidap penyakit SLE lebih 18 tahun. Penyakitnya mula aktif pada akhir tahun 1983. Mungkin akibat daripada beberapa ujian yang telah dilakukan padanya untuk menyelesaikan masalah kenapa kami setelah 5 tahun berkahwin masih belum kurniakan anak lagi.


|

Monday, May 03, 2004

 
TAMBAH KELUARGA

Kucing gelisah
Bawah katil selesa
Penghuni baru


Semalam keluarga ep bertambah. Patutler sejak pagi lagi dia dok merengek dengan ep. Rupanya masanya sudah dekat dan dia memerlukan tempat sebagai persediaan. Habis lemari buku, lemari pakaian dan tempat susunan beg ep diselidikinya. Akhirnya dia ambil keputusan bawah katil- tempat yang paling sesuai. Ep tak perasan jam berapa tetapi setelah pulang dari upcara perkebumian teman ep, ep diberitahu oleh anak ep Anisah yang kucing ep telah beranak empat. Satu berwarna seperti ibunya (putih kelabu) dan tiga yang lain berwarna hitam. Hmm.. lepas ni ep kenalah fikirkan pula bagaimana nak ajar baby kucing tu melepas kat luar rumah. Dah ler sekarang ini rumah rumah ep berbau pancutan (territorial marks) kucing jantan ep, Danny. Hidung ep dah tak berapa sensitif lagi terhadap bau tu tetapi teman-teman ep yang masuk ke rumah pasti tak lepas dari haruman bau pancutan Danny tu.

Disamping empat anak kucing tu, rumah ep juga telah menjadi rumah tumpangan untuk satu kucing jalanan. Agak tua rupanya dan kelihatan uzur. Setelah beberapa hari di rumah ep kesihatannya sudah kelihatan baik. Bulunya yang sebelum ini kelihatan comot dah mula nampak bersih semula dengan tumbuhnya bulu-bulu baru.

Kalau keadaan begini berterusan suatu hari nanti jumlah kucing di rumah ep akan melebihi jumlah kucing di rumah ungku nor. Cuma jenis kucing aje yang berbeza, Di rumah ungku nor kucing persia dan di rumah ep kucing kampungan aje selain Danny (kacukan Siam).

Bercakap pasal kucing ini mengingatkan kita kepada sahabat Rasulullah SAW yaitu Abu Hurairah r.a. Nama sebenarnya setelah memeluk Islam adalah Abdul Rahman.

"Gelaran Abu Hurairah r.a. adalah kerana kegemarannya bermain dengan anak kuching. Diceritakan pada suatu masa ketika Abu Hurairah r.a. bertemu Rasullullah S.A.W. dia ditanyai apa yang ada dalam lengan bajunya. Apabila dia menunjukkan anak kuching yang ada dalam lengan bajunya lantas dia digelar Abu Hurairah r.a. oleh Rasullullah S.A.W. Semenjak itu dia lebih suka dikenali dengan gelaran Abu Hurairah r.a.. "

Petikan daripada sejarah di atas ep dapatkan daripada laman web seperti tertera di bawah ini.

http://w3.spancity.com/yosri/TokohRiwayatAbuHurairah.htm


|

Sunday, May 02, 2004

 
BATAL PROGRAM

Oleh kerana teman ep meninggal dunia pada hari ini, maka program asal ep untuk pergi berkonvoi dengan zino ke walimah anak sedara Geng JK di Kluang dibatalkan. Zino terpaksalah jadi wakil geng JK menghadiri majlis tersebut.

Walaupun ep terpaksa batalkan walimah di Kluang, ep insyaAllah akan menghadiri walimah yang akan diadakan di Kampar, Perak pada minggu hadapan.

Begitulah adanya. Kita merancang tetapi Allah SWT yang menentukan.


|
 
MERENUNG SEJENAK

Pada pagi hari ini ep dikejutkan dengan berita pulangnya ke rahmahtullah teman sekariah MDESJ, Tuan Haji Yaakup bin Budin. Beliau merupakan bekas pegawai pentadbir MDESJ. Apa yang mengejutkan ialah pembedahan yang dilalui semalam berjalan lancar. Malah beliau, setelah sedar dari pembedahanya, telah menelipon dan sms kepada teman-teman mengatakan pembedahannya berjaya dan beliau sedang 'recuperate' di dalam wad di UH. Begitulah sekiranya ajal sudah sampai maka akan dibawanya roh kita bersamanya. Al-Fathihah untuknya dna ep doakan agar dia ditempatkan bersama-sama para solihin.

Kini pihak UH sedang bedah siasat atas mayat beliau untuk menentukan punca kematian. Tidak tahu berapa lama yang akan diambil oleh mereka untuk kerja-kerja bedah siasat itu.

|

Saturday, May 01, 2004

 
SEIMBAS KENANGAN

Jambatan semut
Penghubung dua tebing
Insaflah diri

Semasa ep menulis ini ep ditemani oleh irama midi melayu. Irama melodi lembut membuatkan kenangan lama bermain-main di kepala dan mengusik hati. Teringat akan sahabat dan saudara yang telah lama tiada berjumpa dan tiada khabar berita. Entah masih ada atau telah kembali ke rahmahtullah. Ingatkan ayah, ibu dan isteri yang kini telah tiada. Dicelah-celah ingatan itu tergambar sahabat-sahabat kini dari berbagai golongan usia. Oh!..Betapa perjalananku ini telah agak jauh. Mungkin penghujungnya sudah hampir sesudah beberapa selekoh lagi.

Penghujung. Perkataan yang membuat diri tergetar. Tergetar kerana khuatir bekalan masih belum mencukupi untuk perjalanan seterusnya di dimensi yang lain pula. Ilmu & amal, sedekah jariah dan anak soleh. Kalau dihitung masih terlalu sedikit dan masih banyak yang perlu dilakukan. Mampukah dilakukan. Dan semuanya ini mesti dilakukan dengan keikhlasan.

Pedoman ep. Apabila nak berbuat sesuatu tanya pada diri. "Apakah perbuatan itu berfaedah. Sekiranya tidak maka tinggalkan. Sekiranya berfaedah adakah ianya dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jika ia jawapannya maka teruskan perbuatan itu. Dan perbuatan itu mestilah disertai dengan ilmu. InsyaAllah perbuatan itu akan mendapat keredhaan Allah SWT."


|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com