Sunday, October 31, 2004

 
MALAM Al-QADR


Duduk Taffakur
Malam Datang dan Pergi
Penuh Berharap


Latihan tubi dibulan ramadhan sudah hampir ke kemuncaknya. Tak lama lagi kita akan memamsuki fasa ketiga. Fasa dimana amalan yang dilakukan diharapkan dapat menjauhkan kita daripada api neraka. Di fasa ketiga ini juga keberangkalian terdapatnya malam yang dinantikan atau yang dicari yakni 'malam lailatul qadr' sangat besar. Besarnya rahmat amalan yang dilakukan pada malam tersebut seumpama rahmat untuk seribu bulan.

Sesuatu yang amat berharga sememangnya amat sukar untuk didapatkan. Begitulah juga untuk mendapatkan malam lailatul qadr tersebut. Latihan bermula daripada sebelum ramadhan dan dikuti dengan latihan tubi pada fasa 1 dan 2 ramadhan diharapkan telah memperkasakan diri secara fisikal maupun spiritual.

Sebentar terlintas dihati. Malam Al-Qadr pasti datang. Namun dapatkah kita berjumpa dengannya? Sebagai perumpamaan seseorang yang tidak kita kenal lalu dihadapan kita. Oleh kerana kita tidak mengenalnya maka ia akan lalu dihadapan kita dan pergi. Tanpa sapa dan teguran. Berikutan daripada itu kita tidak dapat apa-apa daripadanya. Adakah kebenaran dalam ini? Waallahualam.

|

Sunday, October 24, 2004

 
BERBUKA PUASA

Makan Sedulang
Berterawih Bersama
Mesra Dirasa


Suasana berbuka puasa di tempat awam di Malaysia berbagai. Dari yang sederhana kepada yang mewah. Dulu tidak banyak masjid yang menyediakan juadah untuk berbuka tetapi kini amalan berbuka di masjid telah berkembang. Anggaran kos setiap orang berbuka di masjid adalah sepersepuluh (1/10) kos individu berbuka di hotel atau restoran mewah. Malah di sesetengah masjid jumlah yang dapat menikmati juadah pada kos yang sama melebihi angka itu.

Sedar atau tidak kita telah memasuki fasa kedua daripada tiga fasa bulan ramadhan. Kalau fasa pertama merupakan fasa kerahmatan, fasa kedua merupakan fasa keampunan. Sehubungan dengan itu berdoalah kepada Allah SWT agar diri kita mendapat keampunan daripadaNya terhadap segala dosa yang telah dilakukan.

Puasa mentarbiyahkan kita agar menjadi orang yang bertaqwa. Untuk menjadi orang yang bertaqwa kita perlu beribadah bukan sekadar syariat sahaja tetapi mesti juga merangkumi hakikatnya. Secara ringkas puasa dapat dikategorikan kepada tiga tahap.

1. Tahap Umum: Ini dinamakan puasa orang awam dimana mereka hanya sekadar tidak makan dan minum. Juga tidak melakukan seks sewaktu berpuasa. Dikhuatiri mereka yang hanya berpuasa pada tahap ini ada berkemungkinan puasanya tidak mendapat pahala dek kerana puasa mereka tercemar. Yang mereka dapat hanyalah lapar dan dahaga sahaja.

2. Tahap Khusus: Selain tidak makan, minum dan melakukan seks semasa berpuasa mereka juga memelihara pancaindera dan anggota mereka daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama seperti mengumpat, adu domba, cakap bohong, sumpah palsu dan melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

3. Tahap Tertinggi: Tahap yang paling sukar untuk dicapai kerana selain 1 & 2 mereka juga puasa hati.

Sekiranya setelah berpuasa sepuluh hari masih tiada perubahan atau peningkatan dalam diri maka adakah ini bermakna puasa kita masih di Tahap Umum atau lebih teruk daripada itu. Bermuhasabahlah diri.

|

Tuesday, October 19, 2004

 
LUPA DIRI


Gedung Dibuka
Gegas Rebut Tawaran
Lupakan Diri


Apabila sebuah gedung besar baru dibuka dan bersamaan itu tawaran hebat dipromosikan maka manusia akan berbondong-bondong memasuki gedung tersebut untuk mendapatkan tawaran tersebut. Troli-troli akan sarat dengan muatan. Jelas kelihatan bukan saja manusia sanggup mengeluarkan wang mereka juga sanggup beratur sekian lama untuk membuat pembayaran.

Tapi yang anehnya bila Allah SWT membuat promosi di bulan Ramadhan dengan tawaran yang jauh lebih hebat daripada tawaran di gedung-gedung mewah ramai yang tidak mengindahkannya dan melepaskan tawaran yang tidak ternilai itu. Malah ramai yang memudharatkan diri dengan menonton filem samada di panggung wayang atau pun di rumah. Padahal adalah baik mereka mengisi masa-masa itu dengan menambah saham atau bekalan ke akhirat.

Nafsu dalam diri sekiranya tidak dikekakang pada bulan Ramadhan ianya akan menjadi lebih sukar lagi untuk dikawal diluar bulan Ramadhan. Ini adalah kerana pada bulan Ramadhan nafsu tidak dipengaruhi atau dihasut oleh syaitan. Sekiranya tiada kemajuan dalam pengawalan nafsu maka diri sendiri akan rugi kelak.

Prestasi kereta akan menunjukkan peningkatan setelah diservis. Adakah perkara yang sama akan terwujud di dalam diri kita setelah bulan Ramadhan? Satu persoalan yang hanya dapat dijawab oleh diri sendiri-sendiri.

|

Thursday, October 14, 2004

 
DIA DATANG LAGI


Cuaca Terang
Tangan Menadah Langit
Hati Terisak


InsyaAllah kita semua akan berpuasa esok hari. Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana masih memberi kesempatan kepada kita untuk beribadah dibulan yang dipenuhi dengan seribu keberkatan. Peluang yang datang setahun sekali ini hendaknya janganlah kita persiakan. Lakukan semua ibadah yang paling terbaik.

Kepada semua yang mengunjungi blog ep ini dan juga kepada semua yang mengenali ep, dikesempatan ini ep ingin mengucapkan "Selamat Menunaikan Ibadah Puasa Ramadhan". Semoga kita semua menjadi orang-orang yang bertaqwa.

RAMADHAN.
Kepergianmu membuatkan aku
mengalirkan air mata kesedihan.

Kedatanganmu membuatkan aku
mengalirkan air mata kegembiraan.

|

Thursday, October 07, 2004

 
ZAMAN JAHILLIAH KEMBALI SEMULA


Bayi Terbiar
Timbunan Kertas Sampah
Menangis Lapar


Saban hari terpapar berita tentang bayi yang baru dilahirkan yang dibuang atau ditinggalkan di tempat sampah atau ditempat awam. Kes pembuangan bayi yang baru lahir makin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Kalau dizaman Arab jahilliah dahulu hanya bayi perempuan ditanam mengikut adat ketika itu, tetapi kini bayi yang dibuang tidak mengikut jantina. Ini menunjukkan betapa tidak beradab, jahil dan kejamnya manusia pada hari ini. Lebih rendah akhlak daripada binantang. Kerana binatang yang tidak diberakal pun tidak akan meninggalkan anaknya yang baru lahir begitu saja. Yang lebih menyedihkan kebanyakan bayi itu berketurunan Melayu.

Keruntuhan akhlak masyarakat Melayu memang amat ketara sekarang ini. Diperingkat tertinggi dek kerana mengejar kedudukan dan pangkat mereka sanggup melakukan perkara keji seperti rasuah dan 'politik wang'. Jika sudah memberi pasti mereka akan mencari jalan untuk mengisi semula 'bekas' yang kosong. Dan ini bermakna juga bakal terjadi penyelewangan dalam pengurusan samada secara langsung atau tidak langsung.

Anak-anak muda termasuk juga yang telah berumur sudah tidak menghiraukan akan teguran daripada para ilmuan. Mereka sudah lupa akan ikrar janji yang telah dimaterai semasa di alam roh. Mereka tidak segan silu mempertontonkan kedegilan mereka dengan secara terbuka mencabar hukum-hukum Allah SWT.

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi kesedaran kepada mereka berdasarkan kemampuan diri. Samada mereka mengikut atau tidak bukan kita yang menentukan. Sekurang-kurangnya kita telah melaksanakan tuntutan kewajiban ke atas diri.

|

Sunday, October 03, 2004

 
BATU NESAN



Batu Terpacak
Susunan Ikut Arah
Akur Perintah

Secara spontan terlintas dikepala ep tentang batu nesan apabila mendengar ustaz bercerita tentang kubur dikuliah subuh pagi tadi. Oleh kerana ustaz yang memberi tazkirah bukanlah ustaz yang 'regular' maka ep tidak kemukakan soalan yang terlintas dikepala ep.

Soalannya:

Kalau kita perhatikan pada kubur orang Islam di Malaysia khusunya terdapat 2 (dua) buah batu nesan, samada berbentuk bulat atau leper, terpacak pada setiap kubur. Tetapi pada kubur bukan orang Islam terdapat hanya satu batu nesan sahaja. Ada sesiapa yang dapat atau boleh beri keterangan mengapa keadaan sedemikian?

|

Saturday, October 02, 2004

 
MAKAN BERSAMA


Merpati Putih
Makan Bersama Teman

Riuh Bicara

Kesempatan bersama teman-teman dipergunakan sepenuhnya oleh Halela. Beliau kini sedang pulang bercuti ke tanahair asalnya. Ep dapati Halela, yang kini bermastautin di Okinawa, Jepun, telah sebati betul dengan gaya dan lengguk kejepunan. Sekiranya tidak melihat kepada wajah memang sukar bagi kita untuk mengatakan Halela berbangsa Melayu. Bak kata kita 'gaya bahasa dan tawanya sebijik seperti seorang wanita Jepun'.

Berbeza pula dengan Inai. Beliau kini berada di Malaysia setelah tinggal di Jepun untuk beberapa tahun. Walaupun baru pulang ke sini, watak 'kejepunan'nya bolehlah dikatakan telah hampir ditenggelami oleh watak 'kemalaysian'. Ini sebenarnya tidak mengherankan kerana Inai bersuamikan orang Melayu berbanding Halela bersuamikan orang Jepun berketurunan samurai.

Ep amat tertarik dengan filosofi hidup orang Jepun khususnya keluarga suaminya yang diceritakan oleh Halela. Terutama nilai-nilai bermasyarakat yang patut diamalkan oleh orang Melayu.

Terima kasih kepada Zar & Sri Diah kerana memberi peluang kepada ep untuk bertemu sua dengan Halela & Inai di Kafe, Karangkraf Sdn Bhd..

-----------------------------------------

Pada malam harinya selepas sholat Isya' ep pergi makan-makan bersama Ewan, Basri dan Op di Warung Syafina di Kampung Baru. Lokasi warung tersebut berdekatan dengan stesen pam minyak petronas. Majlis tergempar yang diatur oleh Op adalah untuk menyambut dan berkenalan dengan Lady_emi yang baru saja pulang daripada UK. Kesian ep bila lihat Lady-emi terpaksa menahan kepedasan koew tiau goreng. Rupanya Lady-emi tak tahan pedas. Tu belum kena masak lemak cili padi orang negori. Mau keluar asap daripada mulut dan telinganya.

Dari apa yang ep lihat Basri dan Op tak boleh diajak pi makan 'buffet'. Tak berbaloi. Kalau Ewan baru 'halal' namanya. Tu cakap orang Utara lah. Nasib baik malam tadi ada Ewan & Ep. Kalau tidak, akan terjadi pembaziran makanan.

|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com