Sunday, May 29, 2005

 
AQIQAH

Majlis Meriah
Marhaban dan Berzanji
Raikan Anak


Sempena meraikan kehadiran cucu perempuannya didunia ini, teman ep telah mengadakan majlis marhaban dan berzanji. Turut serta adalah acara aqiqah seekor kambing. Ramai sahabat dan ahli qariah dijemput ke majlis tersebut.

Majlis atau acara marhaban dan berzanji merupakan tradisi mereka yang datangnya daripada negeri Johore. EP tak dapat nak ceritakan lebih lanjut tentang amalan ini di Johore kerana ep bukan orang Johore. Orang Johore memperjelaskan tentang perkara ini. EP cuma ingin memperkatakan yang orang Negeri kedah juga mengadakan majlis ini namun mungkin tak sehebat seperti yang diamalkan oleh mereka di Johore. Di Kedah dulunya marhaban dan berzanji diadakan pada majlis perkahwinan. Sekarang ini ep kurang pasti samada amalan ini masih diteruskan lagi. Ramai yang telah mengantikan acara marhaban dan berzanji dengan lagu dan musik. Dengan sebab itu tidaklah mengherankan sekiranya makin ramai yang tidak pandai atau reti nak berzanji atau bermarhaban lagi. Dan dengan itu jua ramai yang merasakan diri akan tersisih daripada aliran yang mengamalkan marhaban dan berzanji.

|

Monday, May 23, 2005

 
RESAH

Awan Kelabu
Kabus Kian Menebal
Rindu Mengcengkam
Abah Resah Menunggu
Buah Masih DiTangkai


Sesudah sekian lama mencoba baru kali ini TANKA ep memenuhi ciri-ciri sebuah TANKA yang baik. Itu pun bolehlah dikatakan secara kebetulan kerana pada waktu itu kata-kata tersusun mengikut 'event' yang diceritakan.

Peristiwa yang terajdi didalam kehidupan kita saling berkait. Kaitan ini amat kuat sekiranya kita masih mempunyai keluarga terdekat seperti ibu, ayah, suami, isteri, dan anak. Dalam bahasa matematik kesemua ini membentuk satu 'equation' dimana perubahan satu 'variable' atau beberapa 'variable' akan menyebabkan perubahan pada jawapan 'equation' tersebut. Perubahan itu boleh menjurus kepada keburukan atau kebaikan.

Apa yang kita cari dalam kehidupan ini adalah ketenangan. Permukaan air tasik yang tenang akan bergelombang apabila terjadinya kocakan pada permukaan air tersebut. Intensiti gelombang itu akan cepat reda kerana permukaan air tasik begitu luas. Dalam kata lain efek kocakan tersebut akan membuatkan gelombang yang minimal dan tidak bertahan lama.

Begitu juga keadaan diri kita. Sekiranya diri kita ini kukuh seperti air tasik maka apa-apa pergolakan yang terjadi akan cepat reda. Kita kembali stabil dalam waktu masa yang terdekat. Persoalannya bagaimanakah caranya kita mesti memperkukuhkan diri agar sampai ke tahap sedemkian.

Jawapannya. Senantiasalah ingat kepada Allah SWT. Jangan biarkan ruang-ruang kosong dihuni oleh syaitan yang wujud adalam berbagai bentuk yang asasnya adalah nafsu.

|

Saturday, May 21, 2005

 
BATANG BURUK

Si Batang Buruk
Kukuh Tetapi Rapuh
Pecah Berderai


Setiap menjelang Hari Raya maka kuih batang buruk akan banyak kelihatan dijual di merata tempat. Dipek dalam bungkusan plastik dalam jumlah 50 atau 100 biji. Harganya juga berbeza. Secara dasarnya kuih batang buruk mempunyai dua bahagian, bahagian luar atau kelongsong dan isinya. Bahagian luar atau kelongsong diperbuat daripada bahan tepung dan ianya rangup. Bahagian dalamnya pula kacang yang telah diproses menjadi seperti debu.Apabila digigit maka pecahlah bahagian luar dan bertaburanlah keluar bahagian isinya.

Begitulah keadaannya jiwa sebilangan insan. Luaran kelihatan begitu kukuh namun rapuh. Apabila pada suatu ketika dilanda ujian, dirinya akan jadi berkecai.Tidak lagi dapat mengawal perasaan. Biasa bagi insan apabila terjatuh akan bangkit semula. Ketentuan kekentalan jiwa seseorang banyak bergantung kepada berapa lama ia masih berkeadaan terduduk sebelum bergerak untuk bangun semula.

Sebenarnya latihan untuk kekentalan jiwa telah bermula sejak kita kecil lagi. Contoh yang paling ketara adalah kanak2 yang mula berjalan. Walaupun jatuh beberapa kali namun ia tetap akan bangun semula. Mencoba dan mencoba.

Ingatlah akan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

"Ketahuilah, bahawa pertolongan itu datang sesudah kesabaran;
kelapangan datang sesudah kesulitan."

|

Wednesday, May 18, 2005

 
KERJA SAMPINGAN

Roti Nan Panas
Tunggangan Motosikal
Sedap Di Makan


Bedanya diantara orang yang berjaya dengan yang tidak adalah kesanggupan untuk berusaha ekstra. Adakalanya pendapatan yang diperolehi dari kerja yang satu sudah mencukupi untuk menampung kehidupan namun dek kerana ingin lebih maju ramai yang sanggup berjerih payah mengusahakan kerja sampingan.

Bentuk-bentuk kerja sampingan bermacam-macam. Yang berbakat menulis akan berkarya seperti menulis novel, cerpen dan sebagainya yang boleh mendatangkan rezeki. Disini SriDiah, PakLatip, dan tunas baru SeriAdriani merupakan beberapa teman ep yang boleh dijadikan contoh.

Di sudut yang lain pula ramai juga yang membanting tulang membuat kerja sampingan. Sebagai contohnya PakWattan. Kenalan baru ep yakni Bakhtiar, lulusan daripada Korea, membuat roti dan menjualnya. Ramai lagi teman-teman ep yang membuat kerja sampingan untuk menambah rezeki dan untuk merealisasikan cita-cita mereka.

Sebenarnya Allah SWT telah menganugerahkan kita dengan berbagai potensi. Terserahlah kepada kita untuk mengenalpasti kebolehan dan kemampuan kita. Dalam proses mengenalpasti ini kita akan dihadapkan dengan berbagai cabaran. Ada yang berjaya dan ramai yang gagal apabila berhadapan dengan cabaran. Oleh itu sebelum menceburi sesuatu bidang perlulah dilengkapkan diri dengan ilmu. Dan senantiasalah mempertingkatkan ilmu agar diri tidak statik.

Dalam apa pun kerjaya yang kita ceburi kita kena pastikan apa yang kita lakukan dapat memberi menfaat pada diri sebagai bekalan untuk dunia sini dan dunia sana. Untuk berjaya kita kena jadikan AlQuran & Sunnah sebagai panduan kehidupan.

|

Monday, May 09, 2005

 
KASIH IBU

Seputih Salju
Tangan Goyang Buaian
Kasihnya Ibu


Sambutan hari ibu baru saja berlalu. Di sana sini tertulis berbagai kisah dan sanjungan terhadap ibu. Pengorbanan yang mereka lakukan untuk membesarkan anak-anak tidak dapat dinilai dengan harta. Begitulah mulia dan kasihnya seorang ibu yang selalu digambarkan.

Namun diakhir zaman ini berbagai peristiwa yang mencemarkan kemuliaan ibu telah mula wujud. Terdapat sebahagian para ibu yang berstatus dan berpangkat tinggi begitu sibuk dengan kerjaya dan aktiviti mereka hinggakan terjadinya pengabaian tanggung jawab terhadap pembesaran anak-anak mereka. Mereka sangkakan dengan duit sudah cukup untuk menggantikan kehadiran diri. Kasih sayang yang dirasakan oleh anak-anak daripada ibu yang sedemikian amat tipis dan ada juga yang tiada. Maka dari sini mulalah timbul gejala soaial dikalangan anak-anak yang terabai.

Bagaimana caranya agar dapat dieksploitasikan potensi kaum ibu tanpa mengabaikan peranan utama mereka?

|

Monday, May 02, 2005

 
DOA UNTUK SHOLAT

Kian hari kita rasakan masa bertambah pendek disebabkan kesibukan tugasan harian yang tak kunjung habis. Hari terasa begitu suntuk hinggakan kadangkalanya kita secara sedar atau tidak kita telah melambatkan mendirikan sholat fardhu. Mungkin salah satu sebabnya kerana kita kurang berdisplin dalam pengurusan waktu. Mungkin juga kerana keimanan dalam diri kita kurang kental. Apapun sebabnya kita kenalah berusaha memperbaiki diri dalam pengabdian kita kepada Allah SWT.

Salah satu cara yang telah dipelopori oleh sahabat ep, Mejar(B) Abu Bakar bin Ahmad (Adam Co.), untuk mengekalkan sholat fardhu pada setiap waktu adalah dengan mengamalkan doa Nabi Ibrahim as (sila rujuk kepada catatan 'Penawar Hati') dan doa berikut.

Ya Allah,
Tetapkan imanku,
Panjangkan usiaku,

Kau kurniakan aku,
Kelapangan waktu dan
kelapangan kesihatan,

Untuk membolehkan aku


*selepas sholat Subuh, mohonlah doa untuk "mendirikan sholat Zohor berjemaah hari ini"

*selepas sholat Zohor, mohonlah doa untuk "mendirikan sholat Asar berjemaah hari ini"

*selepas sholat Asar, mohonlah doa untuk "mendirikan sholat Maghrib berjemaah hari ini"

*selepas sholat Maghrib, mohonlah doa untuk "mendirikan sholat Isya' berjemaah hari ini"

*selepas sholat Isya', mohonlah doa untuk "mendirikan sholat Subuh berjemaah pagi esok"

*selepas sholat Jumaat, mohonlah doa untuk "mendirikan sholat Jumaat minggu hadapan"

Dengan mengamalkan doa Nabi Ibrahim as dan disamping berdoa untuk dapat mendirikan sholat fardhu berikutnya InsyaAllah akan membantu kita mendisplinkan diri dengan pelaksanaan sholat fardhu lima kali sehari, setiap hari dan sepanjang hayat.

|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com