Friday, July 30, 2004

 
TIDUR

 
Tidur Menonggeng
Waktu Paling Mustajab
Datang Dan Pergi

Setiap insan memerlukan tidur untuk menghilangkan penat. Dan Allah SWT menjadikan malam untuk manusia berehat dan tidur. Namun tidak semua manusia dapat menikmatinya. Ramai yang terpaksa kerja malam dan bagi mereka yang menghidapi penyakit insomnia.. nikmat tidur pada waktu malam sudah sangat berkurang.

Tidur. Ada yang dapat tidur dengan nyenyak tanpa apa-apa gangguan. Ada yang bermimpi.. mimpi ngeri atau mimpi indah. Samada bermimpi atau tidak banyak bergantung pada diri dan keadaan yang sedang dilaluinya.

Dikala sesetengah manusia sedang enak dialun mimpi ada pula insan yang sengaja bangun untuk mengerjakan ibadah. Sujud kepada Allah dan bermunajat kepadaNya. Sesungguhnya untuk bangun di dinihari adalah sesuatu yang amat sukar dan memerlukan kekuatan. Itulah sebabnya ganjaran yang disediakan Allah SWT pun amat besar. 

Jika berpuasa melatih kita melawan nafsu makan, maka bangun bertahajudd diwaktu dinihari melatih kita untuk melawan nafsu tidur. Sesiapa yang dapat mengerjakan ibadah ini nescaya ia diberi kekuatan untuk melawan nafsu.

Zzzzzzzz.... di siang hari pun tidur.



|

Thursday, July 29, 2004

 
SIMPULAN


Jalan Berliku
Benang Tersimpul Mati
Puas Mencari


Pernah anda membuka atau meleraikan simpulan benang? Pasti anda dapati adakalanya simpulan benang tersebut mudah dan adakalanya terasa amat sukar untuk meleraikannya walaupun simpul itu mudah untuk dileraikan pada hakikatnya. Emosi memainkan peranan penting dalam hal ini. Sekiranya emosi kita stabil dan ceria maka segala kekusutan atau simpulan benang tersebut dengan mudah dapat dileraikan. Sebaliknya terasa nak putuskan aje benang-benang tersebut dek kerana terlalu geram.

Faktor kawalan diri ini penting bukan saja untuk meleraikan benang juga didalam menangani segala permasalahan kehidupan. Latihan dan teknik mengawal emosi bila berada didalam keadaan kritikal sangat-sangat diperlukan.

Dah belajar ke belum?

|

Wednesday, July 28, 2004

 
FIKIRAN KUSUT


Daun Melambai
Tari Ikut Irama
Fikiran Kusut

Sungguh indah dan menarik lenggang lenggok penari. Menari mengikut irama yang lemah gemulai. Namun semua keindahan yang dipertontonkan itu tidak dapat dikecapi kerana pada kala itu hati dan perasaan sedang tertekan. Dan yang lebih menyedihkan dirinya tiada kekuatan untuk meleraikan kekusutan yang terbuku.

Pada saat-saat itu keluhan demi keluhan akan terucap oleh bibirnya. Kenapa ini dan kenapa itu? Tidak terkecuali kata-kata yang sensitif yang boleh mengugat keimanan pun terkadang keluar tanpa dapat dikawal.

Halangan hidup senantiasa ada. Cara mana kita mengatasinya merupakan kekuatan pada diri. Ianya banyak bergantung kepada ilmu dan keperibadian. Namun tidak dapat dinafikan suatu ketika kita perlukan teman untuk membantu dalam menyelesaikan kebuntuan yang sedang dihadapi.

Kekusutan fikiran dan emosi yang kurang stabil seringkali mengelabui cara kita berfikir. Perkara yang mudah dan kecil kadangkala terlihat begitu rumit dan besar.

Aduh rimasnya…


|

Monday, July 26, 2004

 
PERTEMUAN & PERPISAHAN


Langit Nan Biru
Belon Dibawa Angin
Hati Kelabu

Pertemuan dan perpisahan didalam kehidupan merupakan sesuatu yang lumrah. Dan jarak masa di antara sesuatu pertemuan atau perpisahan berperanan besar pada ingatan. Ada yang mudah dilupakan dan ada pula amat sukar untuk hilang daripada ingatan.

Bagi yang masih berada di muka bumi ini kemudahan ICT tidak menjaminkan jalinan perhubungan yang berterusan. Beberapa faktor mempengaruhi individu tersebut untuk saling berhubung terus.  'Busy' atau sibuk merupakan alasan yang sering digunakan untuk tidak berhubung. Dek kerana terlalu lama tidak berhubung maka terputuslah hubungan yang terbina.

Pada hari Sabtu petang yang baru berlalu ep dihubungi oleh Count Selar, yang pada masa itu sedang ber'shopping' berserta isterinya di Carrefour Subang Jaya. EP yang masih ketika itu berada di pejabat bergegas pulang untuk berjumpanya. Sambil menikmati minuman petang di Restoran 'Secret Recipe' kami saling menanya kabar tentang diri masing-masing. Berjumpa dengan teman lama memang mengembirakan.

Pada hari Ahad petang pula satu pertemuan perpisahan telah diadakan di Restoran Satay Kajang Hj Samsuri, Kajang. Tetamu khas, Mushrom_Cute, akan berpindah tempat kerja ke Johore Bahru bermula 1 Ogos nanti. Pertemuan yang sederhana itu telah dihadiri oleh beberapa rakan GEJU. Diantaranya Nida, Tipah, Salina, Langsat, Zhoulz, Zar & keluarga, Melur & keluarga, Ungkunor & keluarga dan seorang lagi tak ingat pula namanya (ni namanya umur dah lanjut). Ramai yang sedih walaupun tiada air mata yang mengalir. Pasti ada yang merinduinya (siapa agaknya?) 



|

Friday, July 23, 2004

 
TERIMBAS KEMBALI

Desiran Ombak
Ketam Lari Terkejut 
Damai Di Hati 

Berjalan di pantai beberapa hari yang lepas telah mengimbas kembali akan kisah lama. Kisah dimana kami sekeluarga menyusuri pantai di Pulau Langkawi. Desiran ombak menghempas pantai dan ketam-ketam bertaburan lari tatkala kami mendekati mereka. Sesekali kedengaran loceng penjual ais krim tidak jauh dari situ. Keadaan pada ketika itu tidak jauh berbeza dengan keadaan sekarang.

Biasanya kita tidak begitu terasa akan kebahagiaan. Mungkin disebabkan pada masa itu kita tidak memikir ke arah itu. Disebabkan itu kita tidak mengecapi kebahagiaan dan kemanisan bersama keluarga.

Setelah sekian lama dan diimbas kembali peristiwa yang berlaku barulah tampak betapa bahagianya saat saat yang dilalui. Kita mencari kebahagiaan namun kita tidak perasan kebahagiaan yang kita cari itu ada bersama kita.

|

Thursday, July 22, 2004

 
GURUH BERDENTUM

Langit Berdentum
Bergegas Cari Teduh
Tersentak Jiwa

 
Langit yang tadinya cerah kini secara perlahan telah bertukar menjadi gelap. Angin yang berembus juga sudah terasa kesejukannya. Dengan adanya tanda-tanda ini berkemungkinan (jika ditakdirkan Allah SWT) sebentar lagi akan turun hujan.. Bunyi dentuman bersahut-sahutan telah mula kedengaran.
 
Bagi mereka yang berkerja di KL dentuman guruh menyentak jiwa mereka. Mereka khuatir dentuman guruh itu akan diikuti oleh hujan lebat. Dan akibat yang sama akan berulang lagi. Jalan akan dinaiki air, dahan pohon patah akan merintangi jalan dan seterusnya jalan akan menjadi sesak oleh kereta di beberapa tempat.

Walaupun berbagai usaha telah dibuat namun banjir kilat tetap juga berlaku. Sampah sarap yang menghalang perjalanan arus di longkang dan parit merupakan salah satu punca berlakunya banjir. Sebab yang lain pupusnya hutan dan rimba menyebabkan arus air menjadi deras.

Disebabkan banjir kilat itu beberapa kereta akan tersadai kemasukan air ke dalam blok enjin.

Dibawah satu link menarik tentang pencemaran diberitahu oleh Ayaka. Terima kasih.

http://www.ummah.com/islam/taqwapalace/bahasa/index.html


|

Wednesday, July 21, 2004

 
DURIAN DATANG LAGI


Buah Merata
Tiada Yang Hirau
Ulat Gembira

Durian datang lagi. Kali ini dari Pahang pula. Ada juga yang datangnya dari Johore. Datang kali kedua. Kekerapan musim durian telah membuatkan nilai buah tersebut jatuh ke tahap yang rendah sehingga ada yang menawarkan harga RM0.30 sebiji. Dengan harga tawaran yang begitu rendah ramai pekebun yang sudah tidak bersemangat untuk mengutip buah-buah durian yang banyak berguguran. Al-hasil buah-buah tersebut akan menjadi busuk. Yang paling gembira pada masa ini adalah ulat-ulat buah.

Begitulah adat di dunia ini. Apabila ianya mudah didapati maka nilai barangan tersebut menjadi rendah. Apatah lagi barang atau benda yang diperolehi itu secara percuma. Keadaan akan bertukar apabila yang ada menjadi tiada. Pada ketika itu barulah insan akan sedar.

Sudah sedarkah kita?

|

Tuesday, July 20, 2004

 
NOBEL LAURATE

Syarahan Umum
Sains dan Masyarakat
Hadirin Kagum

Pagi ini ep berkesempatan pergi ke UPM untuk mendengar satu syarahan umum yang disampaikan oleh Prof Dr Richard R Ernst, Pemenang Nobel Laurate Kimia Tahun 1991, bertajuk "Science and the Future". Beliau merupakan pakar dalam bidang Nuclear Magnetic Resonance (NMR) Spectroscopy. Dikala ep sampai Dewan Perdana sudah penuh dibanjiri oleh para hadirin yang terdiri daripada para penyelidik, orang awam, pelajar universiti dan pelajar sekolah.

Banyak perkara yang disampaikan oleh beliau. Namun apa yang ep mahu tulis disini hanyalah secebis berkenaan peranan para saintis. Antara lain mereka mesti mempunyai etika dalam kerja-kerja penyelidikannya. Juga para saintis jangan hanya tertumpu semata-mata di dalam bidangnya sahaja tetapi harus juga buka mindanya terhadap masalah masyarakat.

Nobel Laurate dari Malaysia pada tahun 2020?

|

Sunday, July 18, 2004

 
PENCEMARAN UDARA 
 

Hijau Nan Pupus 
Udara Penuh Debu 
Nafas Tersendat


Pembangunan lambang kemajuan. Walaupun pupus pepohon yang menghijau, ranap bukit dan bukau, dan udara berkeladak. Namun pembangunan tetap dijalankan. Kesesakan laulintas melambangkan kemajuan. Begitulah apabila sesuatu negara ghairah untuk membangun hinggakan terjadinya ketidakseimbangan sistem eco. Kerana tanpa pembangunan, kata mereka, negara tersebut dikatakan tidak maju. Masih mundur.

Ketidakseimbangan sistem eco membawa padah kepada kandungan oksigen di udara. Tak heranlah berbagai penyakit yang bersangkutan dengannya menjadi bertambah kronik. Kalau pada suatu masa dulu sekiranya ada orang menjual air oksigen di dalam botol orang tersebut akan ditertawakan atau dicemohkan. Namun kini air oksigen telah dipasarkan. Dan ada orang sanggup membelinya dengan harga RM 3.80 sebotol.

Berdasarkan apa yang sedang berlaku maka tidak aneh sekiranya pada masa yang akan datang orang akan mengalas kanister atau tangki berisikan campuran oksigen bertujuan untuk membantu pernafasan. Tanpa bantuan pernafasan manusia seumpama ikan yang tercungap-cungap di darat.

Manusia adalah makhluk perosak di dunia ini...





|

Saturday, July 17, 2004

 

Putrajaya Wetlands - Gambar kepunyaan spyz

Wakaf Terapung
Tasik Mandi Cahaya
Sabar Menanti

Ep tengah dok try program Picasa & Hello samada menjadi atau tidak.

|

Friday, July 16, 2004

 
HUJAN
 
Hujan Nan Lebat
Jalan Sesak Kereta
Fikiran Resah

 
Sudah menjadi kelaziman sekarang ini setelah hujan turun dengan lebat maka akan terjadi kesesakan lalulintas. Ini ekoran daripada jalan dinaiki air atau pun pokok tumbang ke atas jalan. Kesesakan akan menjadi parah sekiranya pekerja-pekerja mengambil masa yang lama untuk sampai ke tempat kejadian dan membersihkan dahan-dahan pokok tersebut.
 
Pemandu yang tersangkut di dalam kesesakan itu pasti ada resah. Resah kerana mengenangkan yang ia akan lewat sampai ke destinasi. Ada pula yang resah kerana kuatir enjin keretanya menjadi panas. Dan resah disebabkan faktor-faktor yang lain.
 
Bila dah berkeadaan demikian ramai yang memikirkan adalah lebih baik menaiki kemudahan  awam seperti LRT, Putra, STAR dan komuter. Walaupun cepat sampai ke destinasi namun ianya mempunyai beberapa kelemahan juga. Salah satunya pada masa 'peak' penumpang sesak. Keduanya aroma badan yang beraneka terkadang menyesakan hidung.
 

|

Thursday, July 15, 2004

 
ADUH COMELNYA...

Mata Tertutup
Tersenyum Dalam Janin
Menanti Hari


Teknologi modern telah mencelikan mata kita terhadap perkara-perkara yang tidak dapat kita bayangkan selama ini. Benarlah apa yang telah diajarkan kepada kita bahawa bayi yang masih di dalam perut dapat merasakan 'mood' ibu yang sedang mengandunginya. Juga terhadap rangsangan melalui gosokan pada perut dan suara. Oleh yang demikian penting bagi para ibu untuk senantiasa berbuat sesuatu yang dapat merangsang pembentukan bayi ke arah yang positif. Salah satu perbuatan yang baik adalah dengan memperdengarkan bacaan Al-Quran.

Bayi akan tersenyum atau gembira jika ibunya gembira dan sebaliknya. Bukti tentang ini dapat dilihat melalui peralatan ultrascan 4D yang baru. Images atau gambar bayi dalam perut ketika di scan dapat dilihat di blog villailhami .

Sungguh menakjubkan.


|
 
KUAT KERJA

Diambang Senja
Burung Pulang Ke Sarang
Masih Berkerja


Lumrah bagi mereka yang keluar pada sebelah pagi hari mencari rezeki akan pulang ke rumah pada sebelah petang hari atau menjelang senja. Akan kelihatan burung-burung riuh di persekitaran sarang mereka pada waktu ini semenatara malam menjelma. Apakah ada istillah 'kerja lebih masa' bagi mereka? Kurang pasti ep. Namun yang pasti ramai manusia yang kerja lebih masa. Ada yang berbayar dan ada juga yang tidak.

Bagi mereka yang berkeluarga, terutama bagi kaum perempuan, tugas rumahtangga menanti mereka sebaik saja mereka sampai di rumah. Kalau di pejabat kerja mereka lebih kepada 'mental' atau minda tetapi di rumah kerja mereka lebih berpihak kepada fisikal. Bagi kaum suami yang mengerti akan tanggungjawab berkeluarga mereka seboleh-bolehnya akan cuba membantu meringankan beban tanggungan kerja si isteri tadi. Bagi yang berkemampuan mereka akan mendapatkan khidmat pembantu rumah.

Untuk menjaga keharmonian rumahtangga di dalam dunia yang serba sibuk ini kita kenalah bijak dalam mengagihkan waktu di pejabat dan di rumah. Kesihatan minda dan fisikal juga kebijaksanaan dalam pengurusan aktiviti dalam masa tertentu mesti dititik beratkan. Kita mesti juga tahu meletakkan 'priority' atau keutamaan pada perkara-perkara yang kita kena lakukan dan berdisplin. Mudah bicara tetapi sukar untuk diamalkan.

|

Monday, July 12, 2004

 
MASAK LEMAK BATANG KELADI

Keladi Segar
Sajian Masak Lemak
Selera Puas


Hari minggu yang baru lepas ep dan anak-anak telah dijemput oleh teman ep ke rumahnya untuk makan tengahari . Sajian yang dihidangkan 'simple' aje. Sambal tumis sotong, ikan kembung goreng, kacang buncis goreng dan masak lemak batang keladi. Walau pun hidangannya simple namun ep rasa puas. Salah satu sebabnya ialah makan beramai-ramai dan keduanya ep telah lama juga tak merasakan masak lemak batang keladi ini. Cili padi tidak dimasukkan jadi ianya tidaklah sepedas masak lemak tipikal N9. Sekiranya ep nak makan masak lemak cili padi biasanya ep akan ke rumah kakak ipar ep di Bukit Beruntung.

Seringkali kita lupa yang hidangan yang sederhana dapat membangkitkan selera. Ini adalah kerana hampir setiap hari kita disuguhkan dengan masakan yang dianggap 'istimewa'. Kekerapan makan makanan yang sama juga akan membantutkan selera. Itulah sebabnya kita mencari makanan yang berlainan setiap hari agar selera kita senantiasa terbuka.

Lepas makan nasi disajikan pula kopi 'o' kaw dan kuih bahulu. Apa lagi ep pun 'dunk' ler bahulu tu ke dalam air kopi sebelum memakannya. Ini dah menjadi kebiasaan ep berbuat demikian walaupun kuih itu lembut. Kebiasaan orang kampunglah katakan.

Lepas ni nak makan apa pulak yer? Masih belum teringin apa-apa lagi nih.


|

Sunday, July 11, 2004

 
MARKET

Ikan Tersusun
Pembeli Tawar Harga
Bertukar Tangan


Sebentar tadi ep pergi ke Pasar Klang. Duk panjangkan leher jugak kot-kot ternampak batang hidung Mely. Tapi tak kelihatan. Kalau berjumpa nak traktir dia makan kat warung Wak Surif. Warung singgahan ep setiap kali ep ke pasar tersebut. Antara makanan kesukaan ep di warung itu adalah mee kari. Pagi ini ep ubah menu. Makan nasi lemak berlaukan telur goreng, bergedel dan sambal tumis. Minuman kopi. Bab minuman ni ep tak perlu minta. Mereka sudah tahu akan minuman kegemaran ep. Kopi kaw.

Kalau di KL orang sebut pasar tetapi bagi orang utara mereka kata market. Speaking jugak orang utara nih. Mungkin penggunaan bahasa telah bercampur baur hingga kini sebutan market telah menjadi kelaziman bagi mereka di Utara.

Hari ni kat pasar tak ada udang besar. Yang kelihatan hanyalah udang bersaiz sederhana. Udang galah pun kecil-kecil sahaja. Sekilo berharga RM 11.00. Memang agak sukar nak dapatkan udang besar pada masa ini. Mungkin faktor musim mempengaruhi hasil tangkapan udang besar.

Nak masak apa hari ini?


|

Friday, July 09, 2004

 
DI PERSIMPANGAN

Jalan Bercabang
Tangan Genggam Kemudi
Mana Nak Tuju?


Setiap orang pasti akan sampai ke situasi dimana ia harus membuat keputusan diantara dua pilihan. Ke kiri atau ke kanan. Adakalanya hati mengatakan ke kiri tetapi tindakan yang diambil ke kanan yakni berlawanan dengan kata hati. Sekiranya tindakan yang dibuat itu kurang tepat maka akan timbullah penyesalan dalam diri. “Kenapalah aku tak ikut kata hati atau sebaliknya”.

Keputusan yang akan diambil biasanya mudah jika apa yang hendak dilakukan berada di bawah kawalan sendiri. Ianya akan menyusahkan sekiranya melibatkan pihak ketiga. Seringkali perkara yang ingin dilaksanakan itu tergendala kerana kengganan pihak ketiga untuk libatkan diri oleh kerana sesuatu sebab.

Tertangguhnya suatu pelaksanaan membawa beberapa implikasi. Salah satunya ialah kita akan dihimpit oleh masa. Disebabkan itu juga kita kekadang mengambil jalan mudah. Que Sera Sera.

|

Tuesday, July 06, 2004

 
MINTA DERMA

Tabung Dihulur
Tutur Harap Simpati
Malu Dipendam


Sekumpulan empat orang anak2 sekolah berseragam St John's Ambulance turun dari kenderaan dan terus menghampiri orang awam seorang demi seorang di Pasar Besar Klang. Berbekalkan tutur kata dan tin tabung mereka mengharapkan simpati daripada orang awam tersebut untuk menderma bagi tujuan tertentu. Daripada empat anak anak sekolah tadi EP perhatikan cuma seorang sahaja yang maju ke hadapan untuk bersemuka dengan orang awam. Yang lain hanya mengekori di belakang beliau.

Untuk meminta daripada orang awam memerlukan kecekalan, tabah dan sabar. Dan mereka perlu senantiasa berwajah manis walaupun respons adakalanya kurang memuaskan. Bagi yang tak biasa memang perasaan malu agak menebal bila berurusan meminta derma sebegini.

Semasa sekolah dulu ep terlibat dalam aktiviti mengutip derma ini beberapa kali. Jerih seharian berjalan dan naik turun pejabat memang nyata. Ramai yang bersimpati dan tidak kurang juga yang mencemohkan. Namun segala yang dilalui itu dijadikan pengajaran bagi ep bila berhadapan dengan manusia. Walaupun kutipan yang terkumpul adakalanya tidak setimpal dengan usaha namun kita dapat menutup kekecewaan dengan kata2 perangsang bahawa kita telah berbuat sesuatu untuk mengurangkan penderitaan orang lain. Bukan hanya sekadar berkata-kata sahaja.

|

Monday, July 05, 2004

 
MENCABAR

Lauk Terhidang
Meriah Jamu Selera
Lupa Seketika


Pada jam 12.30 tgh rombongan pengantin bertolak daripada Subang Jaya ke rumah pengantin lelaki di Kampung Delek Dalam, Klang. Bagi yang tak biasa pasti akan sesat untuk ke tempat tujuan. Untuk mengelakkan daripada perkara itu terjadi kami konvoi pada kelajuan yang sederhana dan pastikan tidak ada kereta yang tercicir daripada rombongan semasa perjalanan.

Alhamdulillah rombongan kami selamat sampai dan disambut oleh paluan kompang. Cuaca yang agak panas ketika itu membuatkan tetesan peluh mengalir di dahi kami. Sementara menanti pengantin selesai bersanding kami dipersilakan duduk di tempat yang telah disediakan khas bagi rombongan pengantin perempuan. Air sirap membasahi tekak sedikit sebanyak mengurangkan kepanasan badan.

Sebaik saja makan beradap bermula kami pun mulalah menjamah makanan yang tersedia. Lauk yang disediakan khusus untuk pengantin pun disalurkan kepada kami yang duduk bersebelahan. Udang galah, udang masak sambal, sotong (tak tahu ep apa jenis masakannya), ikan siakap goreng, hati goreng, ayam goreng, rendang daging, dalca dan pajeri nenas. Lupa pulak nak sebut.. ayam golek. Mana boleh lepas makanan yang enak2 begitu saja. Walau pun segar dalam ingatan akan keadaan ep yang kena berhemah dalam memakan makanan seperti udang, hati dan daging. EP belasahlah jugak. Makan dulu sakit tanggung kemudian. Besok baru tahu akan reaksi daripada apa yang ep telah masukkan ke dalam perut. InsyaAllah tiada mudharat hendaknya.

|

Saturday, July 03, 2004

 
PERKAHWINAN

Ramai Memandang
Tangan Di Lilit Gelang
Rasa Di Pendam


Hari ini terasa letih. Letih mengurus acara perkahwinan. Buka perkahwian ep :) tetapi perkahwinan adik teman ep. Jiran selang satu jalan dengan rumah ep. Sedari semalam ep mengatur aturcara majlis bersama teman-teman ep. Masing masing telah diaggihkan tugas. Menyambut Tok Kadhi, Jurubicara untuk bakal pengantin perempuan, Penyambut Tetamu dll. Acara-acara 'impromptu' atau 'improvise' ep yang kena lakukan.

Pada mulanya acara akad nikah ini dirancang di dalam masjid. Namun setelah diambilkira berkemungkinan ada pihak perempuan, yang uzur, yang ingin turut serta menyaksikan upacara tersebut maka tempat acara akad nikah dipindahkan ke dewan kuliah yang terletak di bahagian depan masjid. Bilik kuliah ini mempunyai kelebihan yakni ianya berhawa dingin.

Kalau biasanya pengantin lelaki akan menyarungkan cincin ke jari pengantin perempuan tetapi pada majlis ini penganting lelaki melilit gelang emas pada pergelangan tangan pengantin perempuan. Hantaran Sebanyak RM 6163. Mas kahwin sebanyak RM 616.30. Pengantin lelaki tiada bermasalah untuk melafazkan akad. Satu kali aje .. lulus.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Besok rombongan ke majlis pihak lelaki pula di Klang.

Sepertimana biasa apabila ep dan teman-teman berkumpul maka ep lah yang menjadi bahan bicara. Tak menang kata ep nak tepis serangan mereka. "Berjabat tangan dengan Tok Kadhi dah. Bila pulak nak tetapkan tarikh dengannya?". Dan bermacam-macam lagi.

|

Friday, July 02, 2004

 
HITCH HIKING

Penat Berjalan
Jari Menunjuk Arah
Tumpang Ikut


Budaya hitch hiking bermula di negara barat dan diikuti oleh kita suatu masa dulu. Namun budaya ini sudah jarang sekali dipraktekkan lagi oleh kerana beberapa sebab. Salah satunya orang yang ditumpangi bukan sebenarnya ‘hitch-hikers’ tetapi adalah perompak atau penyamun. Disamping itu juga terdapat kes dimana yang memberi tumpang ambil kesempatan terhadap yang ditumpangi.

Semasa ep belajar di ITM dulu ep sering ‘hitch-hike’ untuk pulang ke Penang semasa cuti penggal. Ada kalanya bersama seorang teman dan adakalanya bersendirian. Boleh dikatakan ep bernasib baik kerana paling jauh ep berjalan kaki sekitar 1 km atau 1 batu. Ada insan yang berbesar hati memberi tumpangan kepada ep hatta untuk jarak perjalanan yang dekat. Motorsikal, kereta, van dan lori merupakan kenderaan yang pernah ep naik. Yang memberi tumpangan juga berbagai kaum. Kadang-kadang ep juga bernasib baik kerana dibelanja oleh tuan punya kenderaan makan atau minum apabila mereka berhenti di bandar atau pekan. EP ada masanya juga terpaksa tidur di masjid atau di balai polis kerana perjalanan masih jauh dan hari dah malam.

Sekarang apabila ep menyelusuri jalan lama ke utara ep akan terkenang jejak-jejak ep dulu. Kini dah agak sukar untuk cam lokasi tempat ep rehat kerana persekitaran telah banyak berubah.

|

Thursday, July 01, 2004

 
GOTONG ROYONG

Sabit Di Tangan
Padi Tunggu Dituai
Peluh Mengalir


Zaman beredar. Begitu jugalah kaedah menanam dan menuai padi. Kalau dulu kita akan lihat petani berkelompaok menanam dan menuai padi tetapi kini sudah tidak lagi. Semuanya telah diganti dengan jentera, jentera penabur benih padi dan jentera menuai padi. Peralihan daripada kerja gotong royong kepada jentera sedikit sebanyak juga telah merubah pola kehidupan di kampung.

Dulu semasa menanam padi kelihatan ibu2 dan makcik2 sebaris mencucuk anak2 padi ke dalam lumpur. Orang lelaki pula mengangkat anak2 padi daripada semaian. Semasa membuat perkerjaan itu mereka diiringi oleh gelak ketawa dan sembang bak burung. Demikian pula semasa memotong padi. Semua kerja yang dilakukan dengan penuh gigih dan ceria kerana upah menanti setelah kerja selesai dibuat. Kini gelak ketawa dan sembang telah diganti oleh deruman jentera-jentera. Suasana keceriaan sesama insan sudah tiada.

Semangat gotong royong bukan sahaja telah mulai pupus di sawah malah kini telah menular kepada kerja-kerja lain. Yang paling ketara adalah menyediakan makanan untuk sesuatu perkahwinan. Hilang sudah orang-orang kampung membuat persediaan makan bersama-sama. Hilang sudah gelak ketawa dan sembang2 ketika membuat kerja. Kini ianya telah diganti dengan katering. Dengan ini juga banyak cerita2 lama yang bersangkutan turut pupus dari pandangan.

|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com