Tuesday, April 26, 2005

 
SETAHUN BERLALU

Alat pengesan denyutan jantung
bising berbunyi tanpa henti
Doktor dan jururawat sibuk
berusaha memulihkan jantung
denyutannya yang kian menurun
ke tahap sifar

Aku di luar sana
menunggu dengan penuh debaran
tidak bisa berbuat apa-apa
hanya menanti akan saatnya
malaikat maut akan membawa
rohmu bersamanya

Seketika kemudian
bersamaan jam 12.50 malam
doktor menghampiri ku
dari raut mukanya
sudah dapat aku menerka
apa yang ingin disampaikan
bahawa kau sudah tiada

Tanggal 25 April 2004
genap setahun yang lalu
bertempat di HUKM Cheras
kau pergi meninggalkan kami
pergi jauh untuk tidak kembali lagi

Kepada Allah yang Esa
ku berdoa dan mohon keampunan
Agar diampunkan segala dosamu
Agar rumahmu terang dan luas
Agar kamu di tempatkan bersama mereka
para solihin dan syuhadah

Al-Fatihah untuk isteriku

|

Thursday, April 21, 2005

 
MAULIDUR RASUL

Pelita Minyak
Selawat Atas Rasul
Penerang Hati


Hari ini merupakan hari kelahiran Nabi Muhammad shallalllahu 'alaihi wasallam. Sempena dengan itu marilah kita memperbanyakkan bacaan selawat ke atasnya.

Apabila bercakap tentang selawat Nabi saw, ep teringat akan satu kisah yang ep lalui sewaktu ep berada di darjah SMC (special malay class) 2 atau darjah 5 untuk kelas biasa. Kalau tak salah ep pada tahun 1961. Seorang perempuan tua (almarhum) telah memberi pedoman kepada ep yakni apabila nak mentelaah buku pelajaran maka mulailah ia dengan membaca basmalah dan diikuti dengan selawat ke atas Nabi saw. InsyaAllah katanya apa yang dipelajari akan lekat di hati.

Maka ep pun amalkan apa yang ep pelajari itu. Kebetulan pada keesokan harinya ada ujian. Sungguh menakjubkan hasil daripada amalan tersebut ep mendapat markah tertinggi dalam kelas.

Amalan membaca selawat Nabi saw tatkala melakukan perkerjaan memang menjadi amalan ibu. Tak kiralah samada semasa basuh beras, siang sayur atau ikan dan dsbnya. Keberkatan daripada amalan itu memang terserlah. Namun perlu juga diingat amalan sebegini banyak bergantung kepada keiikhlasan. Cinta pada Rasul. Apa-apa yang diperolehi selepas itu adalah bonus.

Ep sungguh gembira apabila mendapat tahu ramai teman ep yang membaca selawat ketika membuat kerja dapur sepertimana diamalkan oleh ibu ep. Semoga amalan ini dapat diteruskan kepada generasi yang akan datang.

|

Sunday, April 17, 2005

 
GELORA RINDU

Taufan Mengganas
Ombak Menghempas Pantai
Hati Gelora
Fikiran Kusut Resah
Rindu Kepulangan Mu


Tanka merupakan sebentuk sajak Jepun yang bercirikan susunan jumlah suku kata 5-7-5-7-7 dalam baris. Bagi mereka yang ingin tahu lebih lanjut mereka bolehlah merujuk kepada Lelahiro atau ke e-sastera.com/haiku.

Tanka yang ep tulis di atas ditujukan khusus kepada Acuk77 dan Seriandriani yang pada suatu dulu hati-hati mereka bergelora kerinduan akibat suami bertugas di tempat lain.

Perasaan yang sama ep rasa juga dialami oleh mereka-mereka yang sedang merindui kekasih mereka. Di antara teman-teman ep ramai yang kini sedang dilanda kegeloraan hati yang menyebabkan tingkat kejiwangan mereka agak tinggi.

Walau apa pun tahap kerinduan kepada insan, kita mesti meletakkan kerinduan kita kepada Allah SWT di tahap yang paling atas. Tanpa berbuat demikian kita akan mudah diselewangkan oleh syaitan yang akan mengakibatkan diri menjadi lemah dan perasaan putus asa berputik.

|

Monday, April 11, 2005

 
TITIK PERMULAAN

Padi Menguning
Ayam Menetas Telur
Bayi Menangis


Setiap kejadian ada permulaan. Hari ini, 11 April, merupakan titik permulaan kehidupan bagi ep di dunia ini 55 tahun yang lalu. Satu putaran masa yang sudah cukup lama. Banyak peristiwa, suka dan duka, telah dilalui.

Walaupun hari kelahiran ep jatuh pada hari ini, namun ep telah diraikan oleh teman-teman sebelum ini. Pada hari sabtu di Sharks laksa telah berkumpul beberapa teman diantaranya Zino & mem, zar, Acuk77 & keluarga, Semut dan keluarga, Mely dan Ana. Terima kasih kepada zino yang telah mengatur pertemuan tersebut.

Semalam di Secret Resepi, Subang Parade sekumpulan GEJU, telah meraikan harilahir ep. Yang hadir ketika itu adalah Hangbuah, Salina, Langsatz, Emma, Adda, Nida & Superdiman. Birthday cake 'tsunami (?)' menjadi hiasan meja. Riuh rendah di meja kami dengan berbagai cerita. Yang paling best, superdiman begitu khusyuk merenung ke hadapan menembusi 'queen' untuk membuat pilihan pakaian dalam yang sesuai dipakainya pabila bertukar menjadi superman kot!

Kepada teman-teman yang mengucapkan kesejahteraan, ep ucapkan ribuan terima kasih. Semoga ukhuwah semasa kita berpanjangan.

|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com