Wednesday, March 31, 2004

 
THE TRUTH

Adakalanya baik untuk menceritakan kisah sebenar keseluruhannya dan adakalanya tidak. Hal ini banyak bergantung kepada keadaan dan sipenerima. Dikhuatiri sipenerima tidak dapat mengawal emosi apabila menerima kisah sebenar.

Begitulah halnya ep dan anak-anak. Selagi ada 'hope' atau harapan ep tidak akan mengatakan keadaan mama mereka yang berada dalam keadaan kritkal itu secara mendalam. EP kuatir mereka belum begitu bersedia untuk menerima hakikat yang berkemungkinan besar mama mereka tidak akan sedar diri lagi. Adakah masih ada peluang untuk kami anak beranak bertutur kata lagi dengannya? EP begitu sabak melihat linangan air mata Anisah yang mengalir tidak terkawal melihat ibunya dan yang berkemungkinan ia tidak dapat bertutur kata dengan ibunya lagi. Ini setelah beliau mengetahui yang ibunya berkemungkinan besar tidak akan sedar lagi. Disebabkan kesedihan itu juga beliau tidak makan malam selepas itu. Hanya sekadar minum air saja. Dalam perjalanan pulang daripada HUKM ep dapat lihat linangan air matanya.

Berbeza dengan anak ep yang satu lagi, Faiz. Beliau kelihatan tenang aje tetapi apa yang bermain didalam fikiran dia ep tidak tahu. Respons lelaki dan perempuan dalam keadaan sebegini memang berbeza. Teman mem ep tidak dapat meneruskan bicaranya dalam telefon dengan ep setelah melihat keadaan mem ep. Memang kami agak akrab dengan keluarga mereka.

Terakhir ini mem ep menerima bantuan pernafasan bagi melegakan paru-paru. Untuk itu juga beliau diberi ubat tidur. Mesin dialysis untuk membantu penapisan darah juga telah digunakan. Matanya juga ditutup dengan plaster untuk mencegah ianya dijangkiti oleh kuman luaran. Dokter juga memberitahuu keadaan denyut jantung mem yang tidak stabil akibat adanya air disekeliling jantung. Satu keadaan yang jarang terjadi.



|
 
EMPANGAN

Empangan merupakan struktur untuk membendung air. Kapasiti empangan bergantung kepada lokasi. Diwaktu takungan air melebihi had takungan semasa atau akibat hujan lebat yang berpanjangan maka sebahagian air akan dilimpahkan atau dibiarkan mengalir keluar daripada empangan tersebut. Ini untuk memastikan tiada terjadi kerosakan atau empangan pecah akibat tidak dapat menahan berat atau tekanan hidrostatik air yang tertakung atau yang dibendung.

Begitulah juga dengan manusia. Dapat membendung air mata daripada terkeluar daripada kelopak mata berdasarkan kekuatan menahan emosi dalam diri. Selain daripada kekuatan dalaman pengaruh luar juga banyak memainkan peranan terhadap emosi. Adakalanya jika bersendirian kita dapat mengawal keadaan tetapi apabila ada seseorang yang berdekatan dengan kita tidak dapat mengawal perasaan atau emosinya maka kita pun terikut juga akhirnya.



|

Sunday, March 28, 2004

 
DI PERSIMPANGAN

Petang semalam di HUKM bertemu dengan Sri Diah dan dua anaknya, Zar, Nasir, Ika dan Tomoko. Ep cuba-cuba bercakap dalam bahasa Jepun dengan Tomoko namun dek kerana sudah telah terlalu lama tidak mempraktekkan bahasa itu bolehlah dikatakan hampir kesemua vocab lari. Si Tomoko plak hanya fasih berbahasa Jepun dan Danes. Jadi petang semalam dia lebih banyak berdiam diri.

Dalam perjalanan pulang di pintu keluar HUKM kaki ep terseliuh. Setibanya di rumah ep minum soya bean. Malam harinya kaki ep di bahagian tumit terasa sakit amat sekali. Tak tahu samada akibat daripada terseliuh atau pun gout kambuh kembali setelah meminum air soya bean. Ini membutakan ep susah nak lelapkan mata. Mana taknya kaki asyik yut yut yut. Sampai ke tengahari ini masih terasa sakitnya. Nampak gayanya kena ambik 'pain-killer' kerana sebentar lagi nak ke HUKM. Susah nak berjalan apabila kaki masih kesakitan.

Hari sebelumnya Salina dan Seriadriani datang pada waktu tengahari dan Melor, Zino dan memnya datang pada waktu petang. Terima kasih Zino & mem kerana menyediakan santapan malam. Bila makan beramai-ramai baru terbangkit selera untuk makan.

Keadaan mem ep kini jauh berbeza berbanding pada masa teman-teman ep datang melawat dulu. Kini dia berada dalam keadaan tidur di wad RICU. Pernafasan beliau melalui bantuan 'incubator'. Disamping itu ada beberapa saluran (air, garam dan ubat-ubtan) yang dipasangkan pada dirinya. Ep tidak tahu berapa lama ia akan berkeadaan demikian. EP pasrah kepada Allah SWT.


|

Thursday, March 25, 2004

 
PERTEMUAN

Hari ini ep berkesempatan bertemu bual dengan Dato Hashim Yahya, Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, selepas sesi Forum Maal Hijrah yang dianjurkan oleh salah satu Persatuan di tempat ep berkerja. Dato Hashim kini berkerja sebagai salah seorang tenaga pengajar di UIAM juga sebagai penasihat di salah satu bank antarabangsa (ADB ?). Ep telah diminta untuk mempengerusikan majlis tersebut.

Diantara pandangan atau ulasan Dato Hashim berkenaan ciri-ciri seseorang individu harus punyai adalah pegangan aqidah yang kukuh. Jika sekiranya pegangan aqidahnya tidak kukuh maka ianya boleh diibaratkan seperti lalang.. condong mengikut arah tiupan angin. Diajak buat maarof dia buat dan apabila diajak buat perkara mungkar dia pun turut serta.

Seperkara lagi tentang kebebasan. Kebebasan menurut perspektif Islam adalah kebebasan terkawal. Dengan demikian tidak akan terjadi keruntuhan akhlak atau moral walaupun negara telah menjadi maju. Berbeza dengan negara maju di barat dimana ramai diantara mereka yang telah rosak/runtuh akhlak atau moral disebabkan tiada kawalan.

Ep dapati penerangan atau ulasan yang disampaikan oleh Dato Hashim mudah difahami dan dapat diterima pakai.

Dengan pertemuan tersebut ep bolehlah merujuk kepada beliau tentang apa-apa kemusykilan bersangkutan dengan agama Islam disuatu masa kelak.


|

Thursday, March 18, 2004

 
TANDA AKHIR

Seringkali sesuatu perkara itu terjadi dengan tiba-tiba. Tanpa kita sangka dan duga. Perkara yang terjadi begitu mendadak pasti membuatkan kita tergamam buat seketika. Sekiranya perkara yang terjadi tu perkara yang baik maka perasaan suka akan melonjat daripada hati. Namun jika sebaliknya duka, sakit hati dan apa saja perasaan negatif akan timbul. Pada saat inilah kita perlu kawalan agar tidak berbuat sesuatu (sumpah serapah maki hamun) yang akan memburukkan lagi suasana.

Disamping itu ada juga adakalanya sebelum sesuatu perkara itu terjadi tanda-tanda awal telah ada atau diperlihatkan lebih dulu. Sekiranya kita ambil perhatian dan berbuat sesuatu maka akhiran baik yang kita dapat atau pun kita dapat menggelakkan sesuatu yang drastik.

Ep bukan nak cakap pasai kematian tetapi pasal kereta ep yang rosak pada hari Ahad yang lepas. Namun bagus juga jika diingatkan disini kematian pasti datang pada setiap individu... ada yang terjadi secara mendadak dan ada juga yang mengambil masa. Apa pun yang kita harapkan akhiran kita adalah dalam keadaan 'husnul khatimah'.

Biasanya kalau 'clutch' nak kaput maka kita akan diberi tanda awal dimana 'power' kereta tersebut menurun.. ini dapat dirasakan bila nak mendaki bukit. Ep cakap pasal kereta manual. Tak tahu pulak samada kereta auto pun bertindak sedemikian bila 'clutch' mula nak kaput. Bagi yang menyedari hal ini kenalah cepat-cepat tukar 'clutch pad'. Kalau lambat-lambat 'clutch-plate' pun terpaksa kena tukar juga.

Apa yang terjadi pada ep adalah 'thermostat' radiator tak berfungsi. Suhu enjin naik mencacak ler jadinya. Dan disebabkan air tidak dapat berkitar maka air pun terpancutlah daripada tempat 'overflow' tank. Mencurah-curah. Pada mulanya ep ingatkan hos radiator pecah. Ep pun terpaksalah berhenti dan buka bonet kereta dan tunggu hingga suhu turun. Nasib malang.. ep ingatkan suhu dah cukup sejuk.. maka ep pun bukalah cap radiator.. Wooosh semburan stim dan air yang kuat membuatkan tapak tangan ep tak tahan kepanasan...maka ep pun lepaskan cap tersebut.. terkenalah sebahagian tangan ep air panas.. (Salina kao uji minyak panas.. ep uji dengan air panas). Sampai sekarang masih dok merah lagi lengan ep akibat daripada air panas tu.

Dipendekkan cerita setelah ditambah air ke dalam radiator ep pun drivelah semula.. tetapi untuk beberapa ratus meter aje.. kena berhenti dan sejukkan enjin. Begitulah start-stop untuk beberapa kali sehinggalah sampai ke bengkel di Batu Tiga. Kebetulan ada beberapa bengkel buka pada hari tu. Dah ada kat bengkel ep pun suruhlah mekanik tu tukar 'shock absorber' di bahagian depan. Bila tukar absorber kena buat alignment tayar.. castor dan camber pun kena adjust juga. Maka terbang melayanglah beberapa keping RM daripada tangan ep..

|

Tuesday, March 09, 2004

 
TUMPANG

Seringkali kita tidak melihat apa yang berlaku di hadapan mata kita. Disebabkan itu peristiwa yang berlaku pergi begitu saja tanpa meninggalkan apa-apa kesan. Peristiwa yang boleh atau dapat mengembirakan hati walau disaat itu hati sedang gundah. Begitulah apa yang terjadi setiap hari. Benda yang tidak kita cari..tidak akan kita temuinya. Dan ianya berlalu...

Cerita-cerita daripada teman ep tentang kelakuan atau telatah anak-anak mereka yang sedang membesar mengembirakan hati ep. Cerita sebegitu terlepas daripada tangkapan ep semasa anak2 ep masih kecil dulu. Mungkin dikala itu ep terlalu sibuk dengan kerjaya hinggakan masa yang dihabiskan bersama anak-anak sedikit sekali. Mungkin juga kerana dianggap sebagai rutin menyebabkan ep kurang teliti atau perihatin. Cuma hujung minggu merupakan hari bersama keluarga. (Pada masa tu sabtu hari kerja). Tu pun kadang kadang terpaksa juga pergi ke pejabat pada hari minggu untuk membereskan kerja yang perlu disiapkan pada minggu berikutnya. Bila diolah kembali betapa masa yang seharusnya bersama keluarga digunakan untuk kerjaya. Masa yang telah pergi tak akan kembali lagi.. itulah harga yang terpaksa dibayar kerana kerjaya.

Bagi yang masih berkesempatan.. pergunakanlah masa yang masih ada sebaik-baiknya. Janganlah dikejar sangat akan kerjaya hinggakan tidak dapat menikmati kehidupan yang sedang dilalui. Ingat masa tidak menunggu kita...

|

Thursday, March 04, 2004

 
PERASAAN


Manusia tidak tidak boleh lari daripada perasaan. Laksana laut kadangkalanya tenang dan kadangkalanya pula bergelora. Ada kalanya perasaan ini timbul dari dalam diri dan ada kalanya disebabkan oleh faktor luaran. Disini ep tidak ingin membicarakan perasaan yang bersangkutan dengan marah ataupun tertekan kerana pada ep perkara tersebut telah banyak diperkatakan. Apa yang ep katakan di sini adalah berkenaan dengan getaran perasaan.

Setiap body atau jisim akan bergetar pada 'natural frequency' tersendiri. Apabila sebuah body lain yang ber'natural frequency' yang sama bergetar maka body yang ber'natural frequency' berdekatan akan turut bergetar pada pada 'frequency' tersebut. Fenomena ini disebut sebagai 'resonance'.

Latihan pada hati dan jasmani melalui zikir dan ingatan kepada Allah SWT akan membentuk 'natural frequency' diri kita kepada yang membolehkan terjadinya 'resonance' apabila mendengar ayat2 AlQuran atau ingat kepada Allah SWT.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka karenanya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal." (Al Anfaal QS:8:2).

Bergetarkah hati anda apabila mendengar azan?

|

Tuesday, March 02, 2004

 
TEMAN LAMA

Selepas sholat asar di surau HUKM, ep terserempat dengan teman lama ep. Dah tak berjumpa hampir 10 tahun. Walaupun dah tak berjumpa sekian lama, kami masih mengenali satu sama lain. Semasa perbualan, ep diberitahu bahawa 'berasnya' Nordin Mahboob, yang merupakan teman sejurusan kejuruteraan ep di ITM, kini terlantar di bilik ICU disebabkan serangan jantung. Ini merupakan serangan yang kedua pada dirinya. Beliau dimasukkan ke bilik rawatan ICU itu semalam. Pada waktu itu beliau kurang sedarkan diri. Alhamdulillah semasa ep lawat dia petang tadi beliau telah sedarkan diri dan dapat bercakap-cakap dengan ep walaupun dalam keadaan bertopeng.. beliau memerlukan bantuan pernafasan.

Bila dikenang ramai teman ep yang telah mendahului ep ke rahmahtullah. Dan ramai juga teman ep dimana keadaan kesihatan mereka agak terganggu oleh beberapa penyakit. Buah pinggang, jantung dsbnya. EP pun tak kurang juga dengan gout. Tu sebabnya dok kena jaga juga pemakanan.. ada pantang jugak. Tetapi bila dah teringin sangat .. tibai jugak. Sedap dulu sakit kemudian.

|
 
MASIH DI HUKM

Isteri ep seharusnya di'discharge' daripada HUKM pada hari ini tetapi oleh sebab beliau tetiba mengalami 'hypertension' dan demam (suhu mencatat 39 C) maka beliau ditahan untuk beberapa hari lagi. Semalam beliau memang nampak ceria dan bersemangat sekali setelah 2 'pint' darah dimasukkan ke dalam tubuhnya. Makan pun berselera amat. Tetapi pada hari ini disebabkan demam selera pun turut terjejas juga. Seharian beliau tak menjamah makanan yang disediakan oleh pihak HUKM. Sesampainya ep di sana, beliau minta dibelikan nasi goreng dan 'fresh orange juice' daripada warung Mak Siti. Terpaksalah ep keluar semula daripada HUKM untuk menapau 'nasi goreng' dan 'fresh orange juice'. EP juga belikan serawa atau pengat pisang di warung yang sama. Isteri ep makan cuma sedikit aje.. rasa nak muntah katanya. Kalau tak makan bagaimana badan nak sihat.. tetapi kalau dah tak ada selera atau bila makan rasa macam nak muntah aje .. nak buat macamane?

Pada ep lebih baik mem ep tinggal di HUKM.. sekurang-kurangnya ada yang menjaga dirinya dari segi pemakanan ubat dan rawatan. Kalau di rumah yang pasti tidur ep akan terganggu pada waktu malam untuk memenuhi permintaannya ke bilik air dsbnya.

Bila berkeadaan demikian teringat pula ep semasa kami dikurniakan Nor Anisah (anak pertama) dan Muhammad Faiz (anak kedua). Selama 4 tahun berturut-turut ep terpaksa menyedia dan memberikan susu kepada Anisah dan Faiz setiap empat jam. Bayangkan jam 11.00 malam, 3.00 pagi dan 7.00 pagi. Tak heranlah ep akan terbangun pada jam 3 pagi sekarang ini... dah terbiasa bangun pada jam tersebut. Anak2 ep kedua-duanya minum susu tin... mungkin disebabkan itu mereka degil sikit kot...

EP rasa beginilah keadaan ibu kita semasa membesarkan kita.. makan, minum, pakaian dsbnya diuruskan oleh mereka.



|

Monday, March 01, 2004

 
DUGAAN

Setiap insan pasti akan diduga. Terdapat berbagai-bagai macam dugaan dan juga tahapnya berbeza. Sebagai seorang muslim yang bertaqwa apa yang perlu kita lakukan adalah bersabar terhadap dugaan tersebut dan berdoa kepada Allah SWT agar diberi kekuatan dan penyelesaian kepada dugaan yang sedang dihadapi. Dalam banyak hal kita perlu menyesuaikan diri kepada keadaan. Ada kala ianya mudah dan adakalanya ianya sangat rumit.

Begitulah keadaan dengan keluarga ep. Terpaksa membuat perubahan pada jadual harian. Kalau dulu dapur berasap kini sudah berkurang sangat asapnya. Pada kami tidak menjadi masalah kerana terdapat berbagai warung atau restoran berdekatan dengan rumah ep. Cuma saja kalau kita dah terbiasa dengan makanan di rumah maka terasa juga akan kehilangan. Agak sukar juga nak ceritakan. Tetapi 'something is missing'. Mungkin kerana makan sendiri-sendiri dan tidak bersama. Makan di luar sesekali tu memang enak tetapi kalau dah selalu tu terasa boring jugak. Hal ini mungkin disebabkan citarasa yang berbeza.

Ep dikira masih beruntung kerana mempunyai anak perempuan. Walaupun masih belajar di tingkatan lima, dia sudah tahu sedikit sebanyak akan tanggungjawab. Bolehlah disuruh untuk masukkan baju & kain dalam mesin basuh dan jemur. Anak lelaki ep, kini di tingkatan tiga, hmmm susah sikit nak cakap.

|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com