Monday, April 28, 2008

 

Kuburan Lama
Penanda Selang Seli
Ibu Di Mana?

Minggu lepas ep berada di Langkawi. Semasa di sana kami dibawa menziarahi beberapa tempat bersejarah termasuklah kubur Mahsuri. Tempat ini yang dahulunya kecil telah diperbesarkan menjadi satu perkampungan dimana terdapat di dalamnya teater, muzium, buat kuih tradisional dll. Apabila menziarahi kubur Mahsuri fikiran ep melayang kepada kubur ibu dan ayah ep di kampung Sungai Seluang, Kedah.

Tanah kuburan seluas kira-kira satu ekar itu telah wujud untuk beberapa dekad. Tiada perluasan tanah. Jadi tidak heranlah sejenap penjuru tanah perkuburan itu telah digunakan bukan sekali tetapi untuk beberapa kali mengikut giliran. Disebabkan itu juga penanda kubur samada dalam bentuk batu, kayu atau pun pokok kemboja telah berlapis-lapis dan berselang seli. Ada yang sudah lapuk dan ada juga tulisan pada batu nisan telah kabur. Jadi bagi yang jarang-jarang sekali pergi menziarahi kubur arwah orang tua atau saudara mereka, adalah sukar bagi mereka untuk mengenal pasti tempat asal kubur itu disebabkan di tempat yang sama telah bertambah beberapa penanda kubur. Perkara yang sama terjadi juga pada ep. Hilang orientasi. Kadang-kadang terpaksa ajak anak sedara untuk mengecam kubur-kubur tersebut.

Agak-agak dimana kubur kita?


Labels:


|

Friday, April 18, 2008

 
Ayam Berkokok
Hebah Seluruh Kampung
Telefon Bimbit

Telefon bimbit dah menjadi perkara biasa sekarang. Daripada yang paling murah kepada yang paling mahal. Kalau yang paling murah tu fungsinya ala kadar saja yakni boleh bercakap dan sms aje. Yang paling mahal atau yang tercanggih boleh buat macam-macam benda. Ep nak sebut pun tak tahu sebab tak punya hp yang canggih atau secanggih itu. Kosnya toksah katalah ribu-ribu RM.

Kini disebabkan ada kemampuan dan juga harga telefon bimbit, yang tak canggih dan tak berapa canggih itu murah, maka ramailah yang mempunyai melebihi satu telefon bimbit. Mereka juga melanggan kepada dua atau tiga pengendali jalur komunikasi. Dan ada juga yang suka melompat dari satu pengendali kepada pengendali yang lain berdasarkan mana pengendali yang memberikan promosi yang hebat dan murah. Disebabkan suka lompat-lompat inilah menyebabkan hubungan terputus kerana nombor yang lama sudah tidak digunakan lagi.

Ep dari dulu hinggalah sekarang masih mengekalkan nombor yang sama. Masih 'prepaid' walaupun dah ada yang 'postpaid'. Yang talian postpaid tu digunakan oleh anak-anak. Tak bebas penggunaannya. Ada hadnya. Kalau tak ada had kocek jadi bocor nanti.

Dulu ep pakai hp yang paling 'robust'. Jatuh melambung beberapa kali pun masih ok. Lani dah tukar kepada yang canggih sikit. Namun begitu penggunaannya masih sama lagi. Bercakap dan sms aje. Kalau nak layari web masih gunakan komputer. Sebab itulah dalam bab telefon bimbit ni ep berada dikelompok belakang.

Telefon bimbit ep kuat makan bateri ler. Hari-hari kena charge. Lepas ni nak jeling-jeling kat PDA plak. Ada sape nak rekomen jenama apa?

|

Monday, April 14, 2008

 
Mekar Bersemi
Deklamasi Sajak Gah
Gulai Belitung

Semalam ep dan isteri telah menghadiri PERTEMUAN BELITUNG COME 2008, bertempat di Dewan Sekolah As-Saadiyah, Gedung Lalang, Seremban, N.Sembilan. Ini merupakan suatu pertemuan esastera anjuran Esastera Semilan.

Seronok berjumpa dengan muka-muka lama. Disamping itu EP sempat juga berkenalan dengan dengan muka-muka baru. Diantaranya MB, Zakir, Teratai, Adnan AN, Alifmustakin dan beberapa lagi. Ada yang dah kenal muka tetapi tak kenal nama.

Apa yang EP menarik dipertemuan ini ialah masakan Gulai Belitung. Ramai yang tertanya-tanya dan ingin tahu, termasuklah EP, apa bendanya belitung tu. Rupanya siput belitung. Di Kedah ianya disebut sebagai 'siput sedut'. Ada perserta yang membawa hidangan siput belitung masak gulai lemak cili api. Waduh, waduh enak banget. EP tambah. Maklum sajalah kali terakhir ep makan siput belitung kira-kira 20 atau 30 tahun yang lalu. Kuih muih dan kopi 'mai secawan' Radix turut dihidangkan.

Pertemuan sastera tidak lengkap sekiranya tiada acara berunsur sastera. Beberapa perserta dengan penuh bergaya mendeklamasikan sajak-sajak mereka. Meromang bulu roma den mendengar dan melihat aksi-aksi mereka. Berbalas pantun dan berteka-teki juga turut diadakan.

Di akhir pertemuan semua perserta dihadiahkan cenderahati. Pada yang bernasib baik dalam cabutan bertuah, termasuklah EP, mereka pulang dengan hadiah sampingan.

Terima kasih pihak penganjur dan perserta. Jumpa lagi dipertemuan akan datang. Insya 'Allah.


|

Friday, April 04, 2008

 

Laungan Kuat
Itik Lengguk ke Kandang
Malam Berlabuh

Suasana di kampung suatu masa dahulu. Apabila petang menghampiri senja maka akan kelihatan gerombolan itik-itik berlenggang-lengguk pulang dari sawah padi menuju ke lau (reban). Tuan Punya Itik tersebut pada kebiasaanya sedang menanti kepulangan itik-itik di pintu lau. Sekiranya dalam perhitungan Tuan Punya Itik terdapat beberapa ekor yang masih belum sampai maka ia akan melaung denga suara yang agak keras memanggil itik-itik tersebut. Biasalah ada dua atau tiga ekor itik yang masih asyik 'suru' hinggakan terlupa yang masa untuk bersuru sudah tamat. Apabila terdengar akan laugan keras itu mereka akan bergegas pulang.

Di lau yang kini telah dipenuhi dengan itik-itik suasananya amatlah bingit. Entah apa yang bicarakan sesama mereka. Keadaan yang sama juga berlaku di pepohon rendang yang dihuni oleh burung-burung. Namun suasana mula menjadi tenang apabila malam melabuhkan diri. Memang sudah ditakdirkan dijadikan siang untuk berkerja dan malam pula dijadikan untuk berehat bagi makhluk siang dan sebaliknya bagi makhluk 'nocturnal'.

Dan malam pun berlalu dengan iringan nyanyian jengkerik dan unggas-unggas lain.


|

Wednesday, April 02, 2008

 
Mentari Terik
Kerbau Lena Berkubang
Lumpur Mengeras


Sudah sekian lama ep tidak menulis di blog ini. Sebenarnya tiada sebab tertentu. Yang pasti malas atau tiada 'mood' adalah penyebab utama. Ep perhatikan ramai juga teman-teman blog yang kini menyepikan diri. Mungkin alasan mereka serupa atau sama dengan alasan ep.

Banyak perkara telah berlaku sejak kebelakangan ini. Baik di dalam atau di luar negara. Ada yang suasananya sudah reda dan ada juga yang masih bergelora. Andaikata kita berstatus pemerhati, maka kita akan dapat melihat arahtuju kemelut yang sedang berlaku. Yang pasti kita tidak tahu kesudahannya.

Perlukah kita berdiam diri seperti kerbau yang sedang berkubang?

Labels:


|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com